Jumaat, 10 Februari 2017 | 7:30am

AS akan senaraikan IRGC sebagai pengganas


DONALD Trump menyenaraikan Angkatan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) sebagai sebuah pertubuhan pengganas. - Foto Press TV

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyenaraikan Angkatan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) sebagai sebuah pertubuhan pengganas.

Menurut sumber tentera, beberapa agensi kerajaan AS sudah dimaklumkan mengenai cadangan itu.

Pegawai itu berkata, jika dilaksanakan ia akan meningkatkan pemantauan ke atas individu dan entiti yang dikaitkan dengan IRGC.

Setakat ini, IRGC adalah entiti keselamatan Iran yang paling berkuasa.

Ia turut menguasai sejumlah besar kepentingan dalam ekonomi Iran dan pengaruh yang kuat dalam sistem politik negara itu.

Sehingga kini, AS sudah menyenarai hitam berpuluh-puluh entiti dan individu yang berkaitan dengan IRGC.

Pada 2007, Perbendaharaan AS menyenaraikan hitam Angkatan Quds IRGC, unit elit yang bertanggungjawab ke atas operasi di luar negara kerana 'sokongannya terhadap keganasan' dan berkata: "Ia adalah sayap utama Iran untuk melaksanakan dasar menyokong pengganas dan kumpulan pemberontak". - SAUDI GAZETTE

Berita Harian X