Khamis, 9 Februari 2017 | 8:29pm

Fashion Designer Search 2017 diperluas ke rantau ASEAN


KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar (empat kiri) bergambar bersama Pengasas KLFW, Andrew Tan (lima kanan), Pengasas Bersama FashionValet, Vivy Yusof (tiga kanan), Alia Bastamam dan Yang Mei Ling (empat kanan) dimajlis Runway Ready Designer Search di Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: AirAsia memperluaskan edisi ketiga AirAsia Runway Ready Designer Search 2017 ke 10 negara ASEAN.

Dalam kenyataan hari ini, AirAsia berkata, pereka fesyen di ASEAN meraih peluang keemasan menerusi pelancaran Runway Ready Designer Search 2017 AirAsia.

"Pertandingan itu akan menyaksikan uji bakat di ibu kota setiap negara ASEAN dari April hingga Jun bagi mencari dua pereka terbaik mewakili negara mereka pada final di Kuala Lumpur, Ogos ini," katanya.

Pemenang akan menerima hadiah bernilai lebih RM350,000, termasuk slot dalam KL Fashion Week Ready To Wear 2018 dan RM25,000 tajaan FashionValet bagi mengeluarkan koleksi kapsul yang akan dijual menerusi FashionValet.com.

Pemenang juga akan menerima 150,000 mata ganjaran AirAsia BIG dan penerbangan AirAsia serta banyak lagi.

"Antara panel hakim bagi uji bakat itu adalah pereka fesyen terkenal dari setiap negara seperti Q Design dan Play dari Thailand, Anthony Ramirez dari Filipina dan Mel Ahyar dari Indonesia.

"Pengasas KL Fashion Week Ready To Wear, Andrew Tan dan Pengasas Bersama FashionValet, Vivy Yusof akan menjadi juri tetap di semua uji bakat di seluruh ASEAN.

"Pereka fesyen terkenal Malaysia, Alia Bastamam dan Editor majalah FEMALE Malaysia, Yang Mei Ling, menjadi sebahagian daripada panel hakim bagi uji bakat Malaysia," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar, berkata ASEAN selaku rantau yang kaya dengan budaya, memberi inspirasi kepada ramai pereka fesyen di seluruh dunia.

"Apa yang penting, ASEAN mempunyai kumpulan bakat kukuh yang kami harap dapat membantu melonjakkan industri fesyen melalui pencarian pereka serantau ini," katanya.

Pencarian terbuka kepada individu warga negara yang menetap di mana-mana 10 negara ASEAN.

Tiga lakaran pakaian sedia dipakai yang diilhamkan daripada destinasi ASEAN perlu dikemukakan dengan borang pendaftaran lengkap yang boleh didapati di klfashionweek.com.

Peserta boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui e-mel kepada aarrds2017@klfashionweek.com.

Ikuti YouTube Channel AirAsia di youtube.com/user/AirAsia bagi webisode yang memaparkan perjalanan semua peserta atau ikuti hashtag #AirAsiaRunway di Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Twitter (twitter.com/AirAsia). - BERNAMA

Berita Harian X