Khamis, 9 Februari 2017 | 6:18pm

`Dah 4 tahun orang kata saya baran'


SYAZWAN Zulkifli. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Pelakon Syazwan Zulkifli pelik kerana masih dilabel sebagai lelaki baran, meskipun mendakwa tidak bersikap begitu.

Syazwan, 30, berkata pandangan sedemikian membuatkannya tidak selesa apabila berdepan dengan masyarakat dan atas alasan itu juga, beliau memastikan dirinya sentiasa tersenyum setiap kali berjumpa sesiapa saja.

"Kalau nak tahu, saya memang susah nak marah, melainkan jika sudah banyak kali saya dikenakan.

"Rasanya, sudah empat tahun orang menganggap saya bersikap begitu, lebih-lebih lagi selepas drama Juvana musim pertama dulu.

"Mungkin wajah saya yang garang membuatkan orang beranggapan sebegitu, tetapi bukan saya minta untuk berwajah begini," katanya kepada BH Online.

Tambah Syazwan, ekoran tanggapan itu, dirinya terpaksa berdepan pelbagai gosip yang didakwanya tidak munasabah, membabitkan sikap beliau yang konon mudah baran.

Bagaimanapun, Syazwan memohon maaf sekiranya ada mana-mana pihak yang tidak senang dengannya selain berharap umum lebih berfikiran terbuka mengenai dirinya dengan kenyataan ini.

Sementara itu, pelakon ini berkata, meskipun ramai rakan seangkatannya sudah mula bersikap memilih terhadap watak yang ditawarkan, beliau masih menerima undangan yang datang.

Baginya, semua itu adalah rezeki.

"Setakat ini saya belum memilih tawaran, melainkan jadual penggambaran dibuat pada tarikh sama. Bagi saya, apa yang datang itu rezeki buat saya.

"Meskipun skrip dan jalan cerita kurang menarik, menjadi tugas saya sebagai pelakon untuk mencantikkan karya yang dilakonkan itu," ujarnya.

446 dibaca
Berita Harian X