Khamis, 9 Februari 2017 | 12:01pm

Harga emas berlegar di paras tertinggi 3 bulan

SINGAPURA: Harga emas berada sekitar paras tertinggi hampir tiga bulan hari ini berikutan risiko politik pilihan raya di Eropah dan kebimbangan berhubung dasar Presiden Donald Trump.

Emas semerta susut 0.1 peratus kepada AS$1,240.46 satu auns pada 0243 GMT.

Semalam, logam itu mencecah paras tertinggi sejak 11 November pada AS$1,244.67.

Dagangan hadapan emas Amerika Syarikat (AS) menokok 0.2 peratus kepada AS$1,242 satu auns.

Emas semerta dijangka meningkat sehingga AS$1,249 satu auns, berikutan kejayaannya melepasi paras halangan pada AS$1,237, demikian menurut penganalisis teknikal Reuters, Wang Tao.

Pelabur bimbang berhubung pemilihan presiden Perancis, khususnya berkaitan calon berhaluan kanan Marine Le Pen, yang berjanji untuk menarik Perancis keluar daripada zon euro dan akan mengadakan pungutan suara berhubung keahlian negara itu dalam Kesatuan Eropah (EU).

Larangan kontroversi yang dibuat Trump membabitkan negara majoriti Islam adalah antara faktor yang melonjakkan harga emas berikutan ia dilihat sebagai aset lebih selamat. - REUTERS

Berita Harian X