Ahad, 21 Disember 2014 | 7:48pm
AZMIN (dua dari kanan) menyampaikan replika Juara Grand Slam kepada Abdullah Mustaffa, 60, (dua dari kiri) pada pertandingan memancing Grand Slam GP Selangor 2014 sambil diperhatikan Pengurus Projek Wak Jali Event Management, Rosli Che Mat (kanan) di Taman Tasik Shah Alam hari ini. - Foto Faiz Anuar

Selangor tetap mahu ADUN BN sebagai Pengerusi PAC

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tetap dengan keputusannya melantik pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata atas sebab itu, BN Selangor perlu mengisi kekosongan kerusi ketua pembangkang yang turut berperanan sebagai pengerusi PAC.

"Negara membangun lain di seluruh dunia sememangnya memberikan jawatan pengerusi PAC kepada ketua pembangkang supaya semakan perbelanjaan dan pengurusan kewangan kerajaan negeri dapat dibuat.

"Sepatutnya mereka mengambil peluang ini bagi membuktikan mereka bersungguh-sungguh untuk memperbetul dan memastikan demokrasi dalam Selangor benar-benar mantap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu program memancing di sini, hari ini.

Pada 4 Disember lalu, persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor meminda peraturan tetap berkaitan yang mewajibkan ketua pembangkang dilantik sebagai pengerusi PAC.

Berikutan itu, ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsuddin Lias meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang Barisan Nasional Selangor berkuat kuasa 8 Disember lalu kerana enggan menerima jawatan sebagai Pengerusi PAC.

Beliau mendakwa PAC negeri dimonopoli ADUN Pakatan Rakyat selain dilihat lebih berunsur muslihat politik.

- BERNAMA

Berita Harian X