Rabu, 8 Februari 2017 | 9:50pm

Pelajar LUCT sertai London Fashion Week


DATUK Tiffanee Marie Lim (tengah) bersama pereka fesyen pada sidang media mengenai penyertaan LUCT ke London Fashion Week di Publika, hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) membuka peluang kepada pelajarnya untuk menunjukkan bakat dalam bidang fesyen di peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam London Fashion Week pada 17 Februari ini.

Naib Presiden Jenama, Kreativiti dan Pembangunan Bakat LUCT, Datuk Tiffanee Marie Lim, berkata penyertaan itu menjadikan LUCT sebagai universiti pertama di negara ini yang mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen berprestij itu.

Beliau berkata, seramai 50 tenaga kerja LUCT yang terdiri daripada kakitangan, pelajar dan graduan yang baru menamatkan pengajian bekerjasama menghasilkan koleksi untuk dipersembahkan pada pertunjukan fesyen itu nanti.

"Delegasi yang terdiri daripada 10 kakitangan dan pereka fesyen akan mewakili LUCT pada pertunjukan itu yang bukan saja memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkan hasil karya mereka tetapi mungkin juga berjaya menarik perhatian pereka terkemuka dalam bidang ini," katanya pada sidang media mengenai penyertaan LUCT ke London Fashion Week, di sini, hari ini.

Sebanyak 50 jenis pakaian yang menampilkan elemen dari Asia dan Afrika akan dipamerkan dengan kerjasama Fashion Scout dari United Kingdom.

Tiffanee berkata, pihaknya mengambil masa selama sebulan untuk membuat persiapan menyiapkan koleksi yang akan dipersembahkan pada minggu fesyen berkenaan.

"Kami membuat sendiri batik dan berkunjung ke beberapa buah negara untuk mencari keperluan yang diperlukan bagi menghasilkan koleksi berkenaan.

"Usaha ini memberi peluang kepada kami untuk belajar mengenai kepelbagaian dan keunikan yang dimiliki oleh pelajar kami. Saya tidak sabar untuk menantikan reaksi mereka apabila berjaya mempersembahkan koleksi itu nanti," katanya.

Sementara itu, graduan yang baru menamat pengajian, P Kutraleswarean, berkata penyertaan LUCT di London Fashion Week itu memberi peluang kepadanya untuk menunjukkan bakat dalam bidang fesyen.

Berita Harian X