Rabu, 8 Februari 2017 | 7:05pm

Dhaarma belum temui penawar


KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara Dhaarma Raj Abdullah. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara Dhaarma Raj Abdullah mengakui faktor kurangnya keyakinan di kalangan pemain menjadi 'lawan' paling dibimbangi biarpun saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia (WHL), masih berbaki kira-kira empat bulan sebelum menyingkap tirainya.

Kebimbangan berkenaan disuarakan pengendali kelahiran Melaka berusia 48 tahun itu selepas mendedahkan dia belum menemui penawar mujarab terhadap 'penyakit' yang menghantui anak buahnya itu.

Walaupun dianggap memiliki sentuhan magis, namun Dhaarma percaya ia bukannya berada di bawah kawalannya selepas mengesahkan sudah meminta Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh membawa masuk pegawai psikologi yang bagus dalam usahanya mengatasi masalah itu.

"Ya, ketika ini kita sudah memiliki kepakaran pegawai psikologi dari Institut Sukan Negara (ISN) tetapi ia tidak mencukupi jika kita mahu melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

"Saya sudah berbincang dengan Terry, kini terpulang pada beliau untuk memutuskan langkah yang terbaik untuk skuad negara kerana kita amat memerlukan pegawai yang lebih berpengalaman daripada ISN," katanya.

Faktor itu tampak jelas menghantui skuad Malaysia Tigress terutamanya membabitkan isu lambat menyesuaikan diri dalam aksi dengan ia di kenal pasti menjadi punca mengapa mereka sering tewas sewaktu berdepan pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

Dalam pada itu, Dhaarma mengesahkan dia mungkin tidak melakukan rombakan besar menjelang siri Jelajah Eropah, April ini dengan menjadikan Belanda, Jerman, Itali dan Ireland sebagai pilihan.

Ketika ini, skuad negara hanya menjalani latihan seminggu dua kali memandangkan saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) sedang berlangsung dan hanya akan tamat pada awal bulan Mac.

Berita Harian X