Rabu, 8 Februari 2017 | 3:50pm

Abang bantu Jamilah berkempen


WAKIL kepada calon BN Dun N03 Tanjong Datu, Puan Sri Jamilah Anu, Datuk Sapuan Anu (tiga dari kiri) bersama jentera parti BN menyampaikan sumbangan bantuan kepada penduduk kampung Stoh ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu. -Foto Muhd Zaaba Zakeria

LUNDU: Selepas Azizul Annuar Adenan, anak bongsu Puan Sri Jamilah Anu, bergerak mewakilinya berkempen di kawasan Tanjong Datu, kini abang calon Barisan Nasional (BN) itu pula mengambil langkah serupa memastikan BN mengekalkan kerusi di kawasan kubu kuat itu.

Sapuan, abang kelima Jamilah, kini turut berkampung di Lundu untuk membantu jentera kempen selain menyampaikan mesej adiknya itu kepada pengundi.

"Walaupun beliau (Jamilah) tiada di sini, beliau sebenarnya sentiasa berhubung dengan penduduk menerusi kami yang menjadi perantara.

"Kami akan melakukan yang sebaik mungkin untuk memastikan penduduk di sini menerima mesej beliau dengan jelas, begitu juga dengan kehendak penduduk di sini akan kami sampaikan kepada beliau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Mesra Jiran Anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Kampung Stoh, di sini, hari ini.

Sapuan berkata, beliau tahu Jamilah seorang yang cekal dan bersungguh-sungguh dalam setiap apa yang dilakukannya.

Ia termasuk merancang untuk meneruskan beberapa kerja arwah suaminya yang tertangguh untuk dilaksanakan di kawasan Tanjong Datu.

"Adik saya sudah menyatakan kesediaannya untuk meneruskan kerja itu, namun tidak menjelaskan secara terperinci apa yang dirancang oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk penduduk di kawasan Tanjong Datu.

"Saya pun tidak mengetahui dengan jelas apa yang hendak beliau lakukan, tetapi memang ada kerja yang tertangguh. Adik saya sering mengikuti suaminya melawat kawasan dan dia tahu apa yang dirancang oleh suaminya," katanya.

Berita Harian X