Rabu, 8 Februari 2017 | 1:19pm

PIDM lantik dua ahli lembaga pengarah baharu


PENGERUSI PIDM, Tan Sri Dr Abdul Samad Alias. - Foto Malaysia Acess

KUALA LUMPUR: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melantik Johan Mahmood Merican dan Gloria Goh sebagai ahli lembaga pengarah baharu bagi menggantikan dua ahli lembaga pengarah yang bersara.

Pelantikan berkenaan adalah bagi tempoh tiga tahun dan mengisi kekosongan jawatan berikutan persaraan Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff dan George Anthony David Dass.

Pengerusi PIDM, Tan Sri Dr Abdul Samad Alias, berkata pihaknya berbesar hati dan mengalu-alukan penyertaan kedua-dua individu berkenaan dalam Lembaga Pengarah PIDM.

"Pengalaman profesional mereka yang luas serta kepakaran dalam bidang masing-masing akan membawa perspektif berwawasan kepada Lembaga Pengarah dan berharap mendapat manfaat daripada bimbingan mereka.


JOHAN Mahmood Merican

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Rahamat dan Dass atas sumbangan dan sokongan padu mereka sepanjang bersama PIDM.

"Kami mengharapkan yang terbaik dalam setiap usaha mereka pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Johan yang juga seorang akauntan bertauliah dan memiliki ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada University of Cambridge, United Kingdom, kini adalah Timbalan Ketua Pengarah (Modal Insan) Unit Perancang Ekonomi (UPE).

Sebelum pelantikan jawatannya pada masa ini, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), sejak penubuhannya pada Januari 2011.

Bagi tahun 2004 dan 2010, Johan juga adalah Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan. Selain itu, beliau juga berpengalaman dalam sektor swasta sepanjang tempoh sembilan tahun dan memegang beberapa jawatan dalam bahagian kewangan korporat dan perakaunan di MRCB, Sime Darby dan PricewaterhouseCoopers.

Sementara itu, Goh pula adalah rakan kongsi yang bersara dari Ernst & Young, Malaysia dan bekas Ahli Majlis Institut Akauntan (MIA) serta Persekutuan Akauntan ASEAN.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Kepujian) daripada University of Melbourne, Australia juga adalah bekas presiden Persatuan Audit dan Kawalan Sistem Maklumat (ISACA) Bahagian Malaysia.

Berita Harian X