Rabu, 8 Februari 2017 | 6:25am

Didik mahasiswa jadi usahawan, sukarelawan


- Gambar hiasan

Merumuskan pendidikan tinggi 2017 dengan tema Redesigning Higher Education, pelbagai pelan tindakan diangkat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai imej tumpu, iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA), 2U2i (Program 2 tahun universiti 2 tahun industri), Program CEO@Faculty, Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-Besaran (MOOC) dan penyelidikan translasional.

Namun kesungguhan menjayakan pengajian tinggi di negara ini mesti dihayati semua pihak, termasuk mahasiswa, agar apa yang dirangka ini jangan hanya indah di atas kertas. Berada pada zaman Internet of Things (IoT) ini perlukan perancangan, ketelitian dan tempoh pengajian sekitar empat tahun adalah terlalu singkat berbanding pelbagai ilmu dan kemahiran sebelum berdepan dengan realiti dunia pekerjaan.

Apabila usul pelaksanaan Gap Year di lapan Universiti Awam (UA) bermula September 2017 ini diumum, ia petanda jelas untuk terus maju pada era globalisasi ini tidak hanya kecemerlangan akademik jadi ukuran. Mahasiswa mesti mengemudi pelayaran dengan sedia merencana dan mengambil tindakan terhadap dua saranan transformasi minda berikut yang mesti diletak sebagai keutamaan sepanjang pengajian.

1. Transformasi Minda Keusahawanan

Matlamatnya mudah iaitu untuk membentuk jati diri bercirikan usahawan, bukan tunggu pekerjaan tetapi mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain. Sokongan KPT menerusi MOHE Entrepreneurial Award menzahirkan pentingnya melahirkan seramai mungkin mahasiswa sebagai usahawan dan mahasiswa berminda keusahawanan.

Siswa boleh mulakan kajian dan sediakan rancangan perniagaan, malah manfaatkan skim 1Pelajar 1Perniagaan dilancarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mendaftar syarikat mereka.

Persoalannya, perniagaan apa? Di sinilah terjemahan ilmu seharusnya berlaku, bukan sekadar gred A panjang berjela, tetapi semuanya buntu. Turun ke lapangan, saksikan apakah keperluan. Jika Siti Hajjar Ahmad, lulusan kejuruteraan elektronik perubatan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berani berhijrah dari Kedah ke Shah Alam dan mencipta jenama Nasi Lemak Anak Dara (NLAD), membuka peluang pekerjaan, mengapa siswa lain ingin terus membina koleksi bank alasan untuk terus selesa umpama seorang jutawan?

Ramai usahawan berjaya memberi nasihat mulakanlah dengan kerja yang susah. Susun masa dan penjadualan pengurusan diri agar aktiviti keusahawanan tidak menjejaskan tumpuan terhadap pengajian. Semakin sibuk, mesti semakin bijak mengurus masa. Berani mencipta produk sendiri atau jika belum cukup yakin, belajar menjual produk pihak lain.

Soalnya, cukup beranikah? Sanggupkah bawa bakul berisi nasi lemak, kuih-muih dan minuman untuk dijual yang perlu kesabaran dan ilmu komunikasi tinggi? Lakukan transformasi minda keusahawanan, peluang mesti dicipta dan keluar dari kepompong keselesaan.

2.Transformasi Minda Kesukarelawanan

Di kampus, budaya jaga kebersihan secara berjemaah perlu diperhalusi. Apabila tugasan jaga kebersihan diberi kepada kontraktor swasta, minda kesukarelawanan siswa dan sikap semakin menjauh. Ada yang biarkan tong sampah terburai sampahnya kerana memikirkan itu kerja si tukang sampah. Minda kesukarelawanan juga selari dengan pembentukan masyarakat karbon rendah, iaitu masyarakat yang amalkan gaya hidup ringkas tetapi berkualiti.

Barangkali sudah tiba masanya persekitaran fakulti dan kolej kediaman diurus oleh ahlinya. Cadangan ini mungkin tidak popular, tetapi sama-sama fikirkanlah, bagaimana membentuk kepemimpinan dan masyarakat cintakan kebersihan jika di menara ilmu pun hal ini sukar dipasakkan nalurinya.

Dalam konteks mahasiswa turun bersama masyarakat, peluang menjadi warga universiti di persekitaran masyarakat kampung mesti dimanfaat sebaiknya. Kolej Perwira UTHM sebagai contoh, terletak di Kampung Parit Sempadan Laut proaktif melaksanakan transformasi minda kesukarelawanan siswa dengan mewujudkan konsep Masjid Angkat bersama Masjid Riyahdus Solihin Pintas Puding.

Bantu pengurusan

Apabila masjid ini jadi tumpuan penghuni menunaikan solat Jumaat, apakah pula tanggungjawabnya? Siswa boleh membantu pengurusan, bentang sejadah dan tikar untuk jemaah. Kelihatan mudah, tetapi signifikan. Bukan hanya sebagai pengguna tetapi mesti berfikir bagaimana bantuan boleh dihulurkan.

Berada di universiti disulam dengan program Gap Year yang bakal dilaksanakan adalah usaha positif. Transformasi minda keusahawanan dan kesukarelawanan jadi nadi tanpa kompromi. Menerusinya, pembinaan jiwa kental, positif, berdaya saing, ringan tulang, bijak ambil peluang, menghargai dan saling menghormati dapat dibenihkan dalam diri siswa ke arah mewujudkan kota kejayaan seperti hasrat murni dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Usaha tanpa jemu perlu dalam menyediakan bangsa Malaysia dan pemimpin masa depan yang hebat fizikalnya, cerdas mindanya malah santun pekertinya. Demi Malaysia tercinta, biarlah masa di universiti dihargai. Janganlah siang berganti malam, tanpa sebarang erti, seumpama menunggu hari untuk mati!

Penulis adalah Pengetua Kolej Perwira, yang juga Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Berita Harian X