Rabu, 8 Februari 2017 | 12:43am

Azizuhasni tak nak fikir gagal di ACC


Azizulhasni Awang. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang enggan memikirkan mengenai kesilapan yang dilakukannya ketika acara keirin sehingga gagal meraih pingat pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2017 di New Delhi, semalam.

"Adalah malang buat saya menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan pada aksi Akhir B (perlumbaan penentuan tempat 7 hingga 12). Saya sudah memenangi pusingan pertama dengan mudah dan mara ke peringkat separuh akhir.

"Keadaan kaki saya cukup baik ketika separuh akhir, namun percaturan agak teruk.

"Pada pusingan terakhir perlumbaan separuh akhir, saya berada di kedudukan kedua di belakang Kazunari Watanabe dan saya gembira untuk menamatkan di kedudukan itu kerana hanya tiga pelumba terbaik akan mara ke final.

"Malangnya dua pelumba Taiwan berjaya menangkap saya dari kanan dan kiri sebelum garisan penamat untuk meletakkan saya di kedudukan keempat. Saya berada di Final B tanpa motivasi dan hanya mengetuai perlumbaan sebagai latihan untuk acara pecut, Khamis ini," kata pelumba bergelar The Pocketrocketman menerusi laman Instagram rasmi miliknya, @azizulawangofficial, sebentar tadi.

Jelas Azizul, ketika perlumbaan peringkat separuh akhir dia sudah berada di kedudukan kedua untuk menamatkan perlumbaan sebelum dua pelumba Taiwan berjaya mengejarnya dari posisi kiri dan kanan.

Situasi itu, katanya, menyebabkan dia sukar untuk meloloskan diri sekali gus menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Pemenang pingat gangsa acara keirin di Sukan Olimpik, Rio, Brazil 2016 itu bagaimanapun menjadikan kegagalannya itu sebagai pengajaran untuk merancang pada perlumbaan seterusnya.

"Ia adalah pengajaran baik untuk saya kali ini dan saya akan mencari rentak untuk perlumbaan seterusnya. Satu perkara buruk tidak bermakna berakhirnya satu cerita dan saya akan bangkit untuk acara pecut.

"Terima kasih atas sokongan diberikan," katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom kerana memenangi pingat gangsa keirin.

Berita Harian X