Rabu, 8 Februari 2017 | 12:01am

Lebih ramai warga Colombia pilih Islam


Pemandangan bandar raya Bogota.

ISLAM berkembang pesat di Colombia dengan kehadiran warga Arab terutama dari Palestin, Lubnan, Syria, Mesir, Turki dan Pakistan sejak berpuluh tahun lalu. Terdapat juga warga Colombia yang telah memeluk Islam merantau ke Asia Barat dan kembali ke tanah air berdakwah kepada sahabat senegara mereka.

Kewujudan masjid di sekitar Bogota seperti Masjid Abou Bakr al-Siddiq, Masjid Qurtubi dan Masjid Estambul yang aktif mempromosi serta memberi penerangan mengenai Islam antara faktor menarik minat rakyat negara itu kepada Islam.

Bekalan bahan bertulis seperti buku rujukan, risalah, terjemahan al-Quran dan cakera padat digital (DVD) yang menerangkan Islam dalam bahasa Sepanyol yang dihantar secara percuma dari warga Muslim Mesir, Dubai, Arab Saudi dan Turki turut menyemarakkan lagi perkembangan Islam di Bogota.

Dakwah secara sukarela

Fakta itu dikongsi Mohamad Sabri Mat, orang Melayu yang bermastautin di Bogota, yang banyak membantu rombongan dakwah dari Malaysia yang berkunjung ke sana. Beliau bertindak sebagai penterjemah serta penunjuk jalan bagi tetamu yang menjalankan dakwah secara sukarela di Bogota.

Anak kelahiran Taiping itu mengikuti pengajian peringkat kemahiran di Pusat Latihan PERDA Bukit Panchor, Nibong Tebal dan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang di Bayan Lepas dalam jurusan mekanikal (mesin).

Kemudian beliau melanjutkan pengajian dalam jurusan Teknologi Maklumat di Informatics Institute, Ipoh, sebelum meneruskan pengajian bidang Pengurusan Maklumat di Unicolombia Bogota. Sebelum menetap di Bogota, beliau pernah berkhidmat di tiga syarikat telekomunikasi terkenal di Malaysia.

Kini beliau bertugas sebagai perunding kepada sebuah syarikat telekomunikasi di bandar raya Bogota sejak empat tahun lalu.

Anggap amalan Islam sukar

Mohamad Sabri berkahwin dengan warga Colombia, Luz Marina Castelblanco Alarcon dan pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, yang sulung lelaki bernama Juan David Rodriguez Castelblanco dan anak perempuannya, Salma Sofia.

Mengimbas pertemuan dengan isterinya yang juga doktor gigi, Mohamad Sabri berkata, mereka diperkenalkan oleh rakan karibnya yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir di Kedutaan Besar Indonesia di Colombia ketika meraikan sambutan Aidilfitri pada tahun 2007.

Katanya, sepanjang perkenalan dengan Marina, beliau agak berat hati untuk memeluk Islam kerana menganggap amalan dalam Islam agak payah. Namun, berkat hidayah daripada Yang Maha Pencipta, secara perlahan-lahan selepas penerangan dan perbincangan, akhirnya beliau menerima Islam.

"Saya bertuah kerana perkahwinan saya dan isteri mendapat restu daripada keluarganya. Malah, mereka juga merestui keputusan Marina untuk memeluk Islam," cerita Sabri mengenai keluarga mentuanya yang masih belum Islam.

Katanya, warga tempatan sangat teruja dengan orang luar yang fasih berbahasa Sepanyol dan kelebihan itu memudahkan beliau berinteraksi dengan mereka. Ia juga memudahkan beliau memberi penjelasan mengenai Islam.

Masjid dijaga 24 jam

Pasangan profesional itu gigih membantu warga setempat dengan menyediakan hidangan makanan tengah hari untuk jemaah setiap Jumaat. Mereka juga menjadi rujukan rombongan dari Malaysia yang memerlukan khidmat penterjemah dari bahasa Melayu ke bahasa Sepanyol.

Mereka turut memanfaatkan kelas pengajian di Masjid Abou Bakr al-Siddiq dan menghantar kedua-dua anak mereka mendalami ilmu agama di sana.

Masjid berkenaan hanya dibuka kepada umum untuk solat lima waktu dan solat Jumaat, tetapi diimarahkan oleh rombongan dari Malaysia yang beriktikaf selama sembilan hari di masjid berkenaan. Tempoh itu diambil oleh warga tempatan untuk berkunjung dan berbincang mengenai Islam.

Sebenarnya, kebanyakan warga setempat tidak menyedari bangunan tersergam indah itu adalah sebuah masjid walaupun mereka membuat andaian ia rumah ibadah.

Masjid Abou Bakr al-Siddiq mempunyai tiga petugas yang diamanahkan untuk menjaga masjid berkenaan 24 jam yang ditaja oleh Kerajaan Mesir.

Mereka ialah Sheikh Abdul Hadi dan Husam dari Mesir yang bertugas dari pagi hingga petang, manakala Hisham dari Palestin bertugas dari waktu malam sehingga fajar.

Ucap syahadah di pasar raya

Sabri berkata, warga Muslim di Bogota tidak perlu risau mengenai makanan halal kerana kebanyakan peniaga berbangsa Arab dan Pakistan menyediakan khidmat membekal serta menjual daging lembu, kambing, ayam yang disembelih mengikut syariat dan sayur di Bogota.

Menurut ketua rombongan dari Malaysia, Abdul Rahman, ayam di Bogota lebih mahal berbanding kambing. Seekor ayam berharga RM30, manakala seekor kambing saiz sederhana hanya berharga RM40.

Kesempatan itu diambil oleh rombongan Malaysia untuk menyediakan masakan daging kambing.

Berkongsi kenangan manis yang terus terpahat dalam ingatan hingga hari ini, ahli rombongan Malaysia dari Ipoh, Abdul Quddus berkata, boleh dikatakan rakyat tempatan yang berkunjung ke Masjid Abou Bakr al-Siddiq akan mengisytiharkan keislaman mereka.

"Penerimaan warga setempat kepada Islam cukup menakjubkan sehinggakan kami tidak menang tangan kerana sibuk mengajar syahadah, solat dan membaca al-Quran setiap hari. Malah, kehadiran kami turut mendapat perhatian warga tempatan ketika membeli belah di pasar raya.

"Jangan tidak percaya, ada yang mengucapkan syahadah di tepi premis pasar raya selepas bertanyakan dan mendapat maklumat mengenai Islam," katanya yang menjalankan perniagaan kafe makanan di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, Perak.

Masjid Abou Bakr alSiddiq dan komuniti Muslim yang mengunjungi masjid itu tidak pernah lelah melayani kerenah mualaf yang banyak bertanya mengenai Islam dan pastinya setiap hari jumlah yang menerima hidayah Allah SWT bertambah serta terus bertambah.

INFO:

  • Rombongan Malaysia dari Ipoh mula beriktikaf di Masjid Abou Bakr al-Siddiq pada 24 Januari hingga 2 Februari 2016

  • Ahli rombongan sekali lagi melapangkan masa di masjid berkenaan selama 20 hari dari 16 Mac hingga 5 April 2016

  • Masjid Abou Bakr al-Siddiq siap pembinaannya pada 2011.

  • Semua masjid di Bogota menganjurkan kelas agama setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

  • Masjid lain di sekitar Bogota ialah Masjid Qurtubi dan Masjid Estambul.
Berita Harian X