Selasa, 7 Februari 2017 | 10:33pm

Tak jadi terjun selepas sejam dipujuk bomba


LELAKI warga Libya bergayut di luar balkoni rumahnya di tingkat lima dipercayai cuba membunuh diri - Foto ihsan bomba

CYBERJAYA: Seorang lelaki warga Libya yang cuba terjun dari balkoni rumahnya di kondominium Cyberia Smart Homes, di sini petang tadi membatalkan hasratnya selepas sejam dipujuk bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hisam Mat Yasih, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian petang sebaik menerima panggilan kejadian itu jam 4.13 petang.

"Sebaik tiba, didapati terdapat seorang lelaki warga Libya berusia 30-an sedang bergayut di bahagian luar koridor rumahnya di tingkat lima, dipercayai cuba membunuh diri.

"Bagaimanapun, anggota bomba yang berada di situ berjaya memujuk mangsa kira-kira satu jam dan membawa mangsa ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Hisam berkata, motif kejadian masih belum dapat dipastikan kerana masalah komunikasi.

Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

15 dibaca
Berita Harian X