Selasa, 7 Februari 2017 | 4:58pm

UEM Sunrise labur lagi RM800 juta

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd melancarkan Fasa Tiga projek pembangunan taman perindustrian Kluster Logistik & Perusahaan Selatan (SLIC) di Iskandar Puteri, Johor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM800 juta.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata projek itu secara keseluruhannya membabitkan tiga fasa dengan nilai GDV dianggarkan RM1.6 bilion.

Setakat ini, katanya, Fasa Satu dan Dua projek berkenaan sudah siap dan habis dijual, manakala pembangunan Fasa Tiga yang bermula sejak Ogos tahun lalu dijangka siap pada suku keempat tahun ini.

"Kami akan memperuntukkan pelaburan antara RM250 juta dan RM300 juta bagi infrastruktur di kawasan berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang," kata.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Fasa Tiga SLIC dan majlis menandatangani perjanjian jual beli antara UEM Sunrise dengan Crown Worldwide Group, di sini, hari ini.


ANWAR (tengah) bersama Leon Hulme (kiri) dan Raymond Cheah, pada majlis menandatangani perjanjian jual beli antara UEM Sunrise dengan Crown Worldwide Group, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Crown Worldwide, Leon Hulme dan Ketua Pegawai Operasi (Komersial) UEM Sunrise, Raymond Cheah.

Perjanjian itu bagi penjualan tanah seluas 54,864 meter persegi yang terletak dalam projek Fasa Tiga SLIC di Iskandar Puteri.

Menerusi perjanjian itu, Crown Worldwide melabur RM37 juta, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan setempat.

Mengulas mengenai perjanjian itu, Anwar berkata pihaknya yakin penyertaan Crown Worldwide bukan sahaja menjadi pemangkin pertumbuhan untuk Fasa Tiga SILC, tetapi juga keseluruhan wilayah Iskandar Malaysia.

"Kerjasama itu juga menunjukkan keyakinan berterusan daripada kalangan pelabur asing dan domestik bagi pembangunan di Iskandar Puteri," katanya.

SILC adalah taman perindustrian keseluruhannya berkeluasan 526.09 hektar yang dibangunkan khusus bagi penubuhan syarikat farmaseutikal, bioteknologi, teknologi terkini dan logistik bersepadu.

Sementara itu, Hulme berkata, kawasan berkenaan akan dimajukan dengan kemudahan untuk menyimpan lebih 1.5 juta kotak dokumen korporat bagi Crown Records Management Band, selain dijadikan pusat untuk jenama Crown Relocations dan Crown World Mobility.

Info:

  • Fasa 3 SLIC dijangka menyediakan 86 lot perindustrian khusus.
  • Sehingga Disember 2016, RM350 juta dilaburkan bagi pembangunan infrastruktur di Fasa 1 dan 2 SILC.
  • Crown Worldwide, syarikat terkemuka berpangkalan di Hong Kong.
  • Ia terbabit dalam pengurusan maklumat, mobiliti dunia, penempatan semula dan logistik seni halus.
Berita Harian X