Selasa, 7 Februari 2017 | 3:56pm

Mforce Bike Holdings, pengedar baharu Benelli

BENELLI 302R RED R lr

KUALA LUMPUR: Benelli, pengeluar motosikal berkuasa tinggi dari Itali, melantik Mforce Bike Holdings Sdn Bhd sebagai pengedar baharu untuk motosikal Benelli di Malaysia mulai 1 Februari 2017.

Menerusi perlantikan itu, Mforce Bike Holdings akan memasang, mengedar dan menawarkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti bagi rangkaian produk Benelli di pasaran negara ini.

Pengurus Jualan Nasional Mforce Bike Holdings, Asri Ahmad, berkata syarikat itu bercadang memperkenalkan model baharu bermula April ini.

Katanya, sebagai permulaan model seperti Leoncino 500, 302R dan TRK 502 sedang dinilai syarikat untuk diperkenalkan di Malaysia.

"Selain dari motosikal berkuasa tinggi, Mforce Bike Holdings akan memperkenalkan buat pertama kalinya model 'moped' Benelli yang menggunakan enjin 150cc baharu dan mematuhi standard euro.

BENELLI TRK 502.

"Model baharu ini dilengkapi dengan ciri utama seperti suntikan bahan api, gear 6-kelajuan dan sistem penyejukan air.

"Enjin ini diuji secara menyeluruh sejauh 20,000 kilometer semestinya mencapai tahap yang diingini oleh pelanggan di Malaysia untuk sebuah 'super-moped'," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Asri turut menegaskan, semua pemilik Benelli akan terus menikmati faedah dan perkhidmatan tambahan yang dibekalkan oleh syarikat.

"Sebagai tambahan, semua Pusat Servis Mforce di Malaysia akan memberikan sokongan perkhidmatan selepas jualan bermula dari bulan Mac kepada semua pemilik motosikal Benelli sedia ada.

"Mforce Bike Holdings juga menyediakan peruntukan yang besar untuk promosi produk. Kami sedang merancang pelbagai acara promosi, pameran motosikal dan pemasaran bagi memastikan jenama Benelli lebih diketahui umum di Malaysia," katanya.

Selain jenama Benelli, Mforce Bike Holdings juga adalah pengedar motosikal jenama Taiwan, SYM di Malaysia.

Sebelum pelantikan pengedar baharu Benelli, jenama berkenaan diuruskan oleh Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd (BKM).

Berita Harian X