Selasa, 7 Februari 2017 | 3:42pm

Jangan polemikkan isu UEC

TAN Sri Annuar Musa (kanan) beramah mesra bersama Datuk Lau Lee Ming (tengah) dan Naib Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau Hoe Chai selepas sidang media tentang perjumpaan Penerangan UMNO dengan Ahli Lembaga Persatuan Dong Zong mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu. - Foto Rosela Ismail

KAJANG: Isu berkaitan dengan sekolah Cina termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) jangan dijadikan isu untuk mewujudkan konflik antara kaum.

Sebaliknya, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata isu itu boleh diselesaikan dengan baik dengan adanya persefahaman dan kerjasama antara pihak berkaitan.

Katanya, dalam negara majmuk seperti Malaysia ini perlu ada kerjasama antara kaum demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.

"Pertemuan UMNO dengan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bukannya untuk menarik sokongan bagi pilihan raya sebaliknya untuk lebih memahami isu berkaitan dengan sekolah Cina.

"Apabila kita mendapatkan maklumat yang tepat, terus daripada sumbernya bukan daripada cakap-cakap orang dan berita di media sosial dan media massa maka kita akan lebih jelas mengenai satu-satu isu itu," katanya pada sidang media selepas Pertemuan Penerangan UMNO dengan Dong Zong di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menegaskan menolak untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana tidak selaras dengan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Pendidikan 1996.

Bagaimanapun Annuar bulan lalu menyarankan pelajar lulusan UEC memohon masuk ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kerana universiti swasta itu mengiktiraf mereka sebagai pelajar antarabangsa.

Namun, ia disangkal Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan UniKL tidak mengiktiraf UEC kerana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Annuar berkata, pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) diterima baik dalam sistem pendidikan di negara ini.

"Dalam isu pengiktirafan UEC, Penerangan UMNO bersedia menjadi pemudahcara untuk Dong Zong bertemu dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Apabila kita bekerjasama tidak prejudis, tidak berfikiran sempit dan mewujudkan suasana ketegangan, maka semuanya akan berjalan dengan baik, " katanya.

Sementara itu, Pengerusi Dong Zong, Datuk Lau Lee Ming meminta kerajaan mengiktiraf sijil UEC setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Dong Zong juga meminta Kementerian Pendidikan membenarkan pelajar Sekolah Cina Persendirian mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding minimum enam mata pelajaran untuk sijil berkenaan seperti dipraktikkan sekarang.

Berita Harian X