Isnin, 6 Februari 2017 | 8:35pm

Carimin Petroleum mohon lanjut tempoh guna dana IPO

KUALA LUMPUR: Carimin Petroleum Bhd sudah mengemukakan permohonan bagi semakan lanjutan daripada 18 bulan kepada 12 bulan lagi, untuk menggunakan sepenuhnya RM12 juta dana dijana daripada tawaran awam awal (IPO) bagi pembangunan kawasan fabrikasi kecil.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata jumlah itu dicadangkan untuk diguna oleh syarikat dan/atau anak syarikatnya bagi pembangunan 78,448 kaki persegi kawasan fabrikasi di Kawasan Perindustrian Telok Kaling, Kemaman di Terenggani dalam tempoh 18 bulan.

"Setakat ini, RM922,000 sudah dibelanjakan untuk pembangunan kawasan fabrikasi kecil itu yang termasuk bengkel terbuka dan bangunan pejabat," katanya.

Carimin berkata, syarikat itu sudah menangguhkan rancangan ke atas kemudahan ruang pembagasan serta belian kelengkapan baharu kerana kemudahan kawasan sedia ada adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan kontrak semasa, berikutan kemerosotan aktiviti minyak dan gas.

"Pada 6 Februari 2017 syarikat memutuskan untuk melanjutkan tempoh bagi penggunaan hasil IPO itu selama 12 bulan lagi sehingga 31 Disember 2017," tambahnya.

Menurutnya, tempoh yang disemak semula itu adalah bagi kepentingan kumpulan serta tidak akan memberi kesan penting ke atas prestasi kewangannya, dan tempoh yang disemak semula itu tidak memerlukan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia atau pemegang saham syarikat.

Syarikat itu sudah menggunakan RM35.32 juta dana dijana daripada IPO bagi pembelian kapal sokongan luar pesisir, pembayaran balik pinjaman bank (RM8 juta), modal kerja am (RM7.95 juta) serta belanja penyenaraian, RM3.5 juta, katanya.

Ia berkata, sebanyak RM11.078 juta daripada RM12 juta yang diperuntukkan bagi pembangunan fabrikasi kecil tersebut belum lagi digunakan.

17 dibaca
Berita Harian X