Isnin, 6 Februari 2017 | 6:24pm

Adi Putra tepis dakwaan berpisah dengan isteri kedua


ADI Putra. - Foto Owee Ah Chun

SUBANG JAYA: Pelakon, Adi Putra, 36, menepis dakwaan beliau sudah pun berpisah dengan isteri keduanya, Norshahida Zolkifly, 33.

Beliau sebaliknya berkata, hubungan dengan kedua-dua isterinya, termasuk Aida Yusof, 42, masih baik.

Bintang KL Gangster itu berkata, beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung khabar angin kononnya sudah berpisah dengan wanita berkenaan sebelum ini berikutan terlalu sibuk dengan kerja seni, selain menguruskan perniagaannya.

"Kalau rumah tangga saya berantakan atau bermasalah, saya takkan berada di sini sekarang. Saya juga takkan menerima tawaran berlakon jika ingin melarikan diri kerana saya tahu sudah tentu ada pihak akan bertanya," katanya ketika ditemui di lokasi drama 60 episod berjudul Dia, di sini hari ini.

Menurut pelakon dari Singapura itu, beliau sememangnya terlalu sibuk, malah baru saja pulang dari Arab Saudi kerana menguruskan keperluan jemaah umrah.

"Sebagai artis, orang nampak dan mengambil tahu mengenai diri saya. Isteri saya bukan artis, jadi apabila dakwaan sebegini timbul, kesannya adalah pada diri saya.

"Dalam dunia seni, bukan sesuatu yang mustahil adanya perasaan dengki dan fitnah. Cuma, macam mana kita hendak menghadapinya? Hubungan dengan isteri-isteri saya masih baik dan kami menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Adi berkata, dalam rumah tangga pasti ada masalah tersendiri, namun begitu ia tidaklah membawa ke tahap berpisah.

"Komunikasi sangat penting dalam perhubungan dan sebagai isteri, mereka perlu tahu kepentingannya bagi mengelakkan sebarang masalah," katanya yang mengakui memerlukan kerjasama pasangan hidupnya dalam mengemudikan rumah tangga.

Ditanya mengenai soal anak, pelakon itu berkata, segala-galanya berbalik kepada ketentuan Allah.

"Kalau sudah ditakdirkan belum rezeki saya untuk memiliki zuriat sendiri, saya kena reda dan tidak boleh menolak ketentuan Tuhan," katanya.

Hujung Disember lalu, Norshahida dikatakan mengalami keguguran selepas hamil lima minggu.

16 dibaca
Berita Harian X