Ahad, 21 Disember 2014 | 7:51am

PAS anggap Guan Eng 'mis-chief minister'

Secara ikhlas, ada sesiapa yang terkejut dengan perbalahan hangat sekarang antara pemimpin DAP dan PAS berhubung isu kalimah Allah di Pulau Pinang, pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan penolakan Datuk Seri Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang? Lim Guan Eng menuduh PAS tidak komited dengan matlamat pakatan pembangkang, tidak konsisten membuat keputusan dan mempunyai presiden yang selalu ponteng mesyuarat.

Marah dan kecewa dengan sikap antagonistik, provokatif dan kurang hormat pemimpin DAP ini, majoriti pemimpin dan penyokong PAS anggap Guan Eng kini lebih menepati seorang 'Mis-Chief Minister' (ketua menteri pengacau). Hadi, yang menjadi punching bag Guan Eng mutakhir ini, pernah berkata, punca pemimpin DAP bimbang dengan PAS dan perjuangan partinya adalah kerana mereka tahu Guan Eng atau bapanya tidak ada peluang menjadi perdana menteri dalam sebuah negara Islam yang diperintah PAS. (2 Disember 2003).

Mereka yang mengikuti perkembangan politik, khususnya bibit pergeseran dan perbezaan pandangan antara PAS dengan rakan sekutunya DAP dan PKR, senario ini sudah dijangka. Seperti Kit Siang, mereka juga meramalkan hayat pakatan pembangkang tidak lama dan akan berakhir seperti Barisan Alternatif 13 tahun lalu.

Selama ini, perjuangan PAS, yakni isu hudud dan penubuhan Negara Islam (kemudian Negara Berkebajikan), dianggap sensitif dan sengaja disapu bawah permaidani untuk mengelak perbalahan. Sebaliknya, ketiga-tiga parti pembangkang tumpukan Buku Jingga dan isu abstrak seperti tahaluf siyasi, konsep keadilan serta reformasi dan demokrasi, padahal mereka

sendiri gagal menghayati.

Perebutan kuasa dalam pakatan

Buktinya, DAP dan PKR tidak mampu mengendali pemilihan parti secara bersih dan adil, perebutan kuasa dan manipulasi PKR menjatuhkan pemimpin sendiri sebagai Menteri Besar Selangor, manakala PAS berpecah kepada serpihan diikuti sesi menghina dan mengecam pemimpin menerusi media sosial. Mereka mengutuk dan menyaman sesama sendiri. Andai pakatan pembangkang menubuhkan Kerajaan Pusat dalam keadaan sekarang, pasti berlaku tarik tali, pergelutan kuasa dan sabotaj.

Kerajaan sebegini rupa tidak diyakini rakyat dan pasti berkecai akhirnya. Ramai masih ingat pada Disember dua tahun lalu, Guan Eng membuka kotak 'pandora' apabila menyaran penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Akibatnya, PAS berkocak kerana ada puak sokong (profesional- liberalis-Anwarinas) dan ada yang menentang (ulama) pendirian pemimpin DAP itu. Kemuncak kemelut berlaku pada muktamar Oktober lalu, yang dianggap antara paling buruk dalam sejarah PAS. Minggu ini, Guan Eng buat hal lagi, sehingga berlaku perang mulut yang serius dan cabar mencabar antara PAS dan DAP untuk keluar pakatan pembangkang.

Ada pemerhati berpendapat PAS gagal membaca strategi DAP memecah dan melemahkan PAS. DAP semakin angkuh dan begitu yakin ia boleh menang besar dalam PRU akan datang. DAP bakal letak lebih ramai calon Melayu-Islam di kawasan majoriti Melayu dan jika menang lebih banyak kerusi DUN berbanding PKR atau PAS, kemungkinan besar calon MB negeri berkenaan adalah daripada DAP. Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi bersikap neutral, malah menyokong DAP dalam soal ini. Tanpa PAS dalam pakatan pembangkang, PasMa pasti mohon jadi parti politik untuk bersama DAP dan PKR.

Ulama PAS kritik Guan Eng

Setakat ini, hanya pemimpin PAS kalangan golongan ulama yang mengkritik keras cadangan dan pendirian Guan Eng. Ada yang menganggapnya sengaja memprovokasi, angkuh, tidak matang dan berubah cakap. Bagaimanapun, sehingga rencana ini ditulis, belum kedengaran reaksi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang pernah berkata, tujuan PAS berbaik dengan DAP ialah agar parti rasis-cauvinis itu memahami Islam dan hukum hudud serta menerima negara Islam.

Uzur dan bertongkat, beliau ke rumah mendiang Karpal Singh untuk menyambut hari lahir pemimpin DAP itu sambil menyuap kek. Apakah tempoh 16 tahun tak cukup untuk mentarbiyah DAP? Kenapa selepas tempoh begitu lama, Kit Siang dan anaknya masih tak faham? Tentu sukar untuk Nik Aziz akui bahawa beliau dan PAS sudah kena main dan ditipu DAP.

Kerana rapat dengan Guan Eng, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dijangka tidak bersuara atau mengkritik. Tapi, bagaimana dengan bekas Speaker DUN Kelantan, Datuk Rahim Abdullah, yang pernah berikrar berani mati untuk pertahan pemimpin DAP? PAS tidak boleh undur lagi. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob telah mengumumkan sidang khas DUN pada 29 Disember bagi membolehkan kerajaan negeri membahasnya sebelum membawa rang undang- undang persendirian mengenai hudud ke Parlimen. Ironisnya, di Parlimen nanti, PAS mengharapkan ihsan dan sokongan Ahli Parlimen Melayu-Islam daripada UMNO, yang selalu mereka caci dan pernah kafirkan.

Andainya rang undang-undang ini diluluskan dan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan, PAS pasti akan berdepan dengan protes dan saman DAP (selain MCA, Gerakan dan parti lain). 2015 akan menjadi tahun mencabar kepada PAS.

38 dibaca
Berita Harian X