Isnin, 6 Februari 2017 | 3:13pm

Getah jadi 'mainan' spekulator China

TOKYO: Pada awalnya, arang batu dan bijih besi menjadi 'mainan' spekulator China, sekali gus menyaksikan harga komoditi itu melambung tinggi. Kini, mereka mula beralih kepada getah, yang mana mencatat kenaikan harga terpantas dalam tempoh lebih suku abad.

Peniaga berkata, pelabur China kini 'bertaruh' atas permintaan tinggi getah global, yang dirangsang pertambahan import sektor automotif negara itu serta harapan tinggi langkah rangsangan yang akan dilaksanakan Presiden Donald Trump bakal menyemarakkan lagi ekonomi Amerika Syarikat.

Pengeluar tayar terbesar dunia, Bridgestone sudah memberi amaran ia mungkin akan menaikkan harga produk.

Pertaruhan itu berkemungkinan berterusan sebaik saja pelabur China kembali sepenuhnya ke dalam pasaran selepas cuti Tahun Baharu Cina, kata peniaga.

Mereka kembali ke pasaran sebaik saja jumlah pengeluaran di negara pengeluar utama di Asia Tenggara memasuki penurunan bermusim, diburukkan lagi oleh keadaan banjir di Thailand, dan menjadikan getah aset paling "panas" berbanding komoditi yang mendapat permintaan tinggi seperti plumbum dan keluli.

Penanda aras niaga hadapan getah Asia di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih lima tahun pada minggu lalu dan meningkat 26 peratus pada Januari, sebelum jatuh semasa cuti Tahun Baharu Cina - peningkatan bulanan terbesar sejak 1990.

Ia merangsang minat dalam pengeluaran baharu di tempat lain seperti India.

"Terdapat satu pusingan spekulasi mengenai getah di China pada Januari," kata Penganalisis Okachi yang berpangkalan di Shanghai, Quan Shuwen.

"Bekalan yang agak ketat, permintaan daripada perusahaan hiliran secara beransur-ansur semakin kukuh di China, yang mempunyai kemungkinan untuk melonjakkan harga," katanya.

Sepanjang empat bulan lalu, harga getah meningkat lebih dua kali ganda dalam pergerakan tidak menentu didorong oleh pelabur China, sekali gus mempamerkan keupayaan mereka untuk menggerakkan pasaran selepas lonjakan yang sama dicatatkan dalam komoditi seperti arang batu dan bijih besi.

Aliran meningkat harga getah terus dipacu oleh kebimbangan terhadap output di Thailand, pengeluar getah terbesar di dunia.

Selepas banjir kilat yang menjejaskan wilayah penanaman getah utama di negara itu, Pihak Berkuasa Getah Thailand menjangkakan ia akan mengurangkan output getah pada 2017 sebanyak 7.6 peratus.

Pengeksport getah Thailand berkata mereka mempunyai simpanan komoditi itu yang mencukupi bagi memastikan hanya gangguan minimum terhadap penghantaran getah yang dijadualkan. - REUTERS

Info:

* Pengeluar tayar beri amaran kenaikan harga berikutan kos yang tinggi

* Di tengah-tengah kebimbangan bekalan Thailand, harga dilihat tinggi

Berita Harian X