Isnin, 6 Februari 2017 | 2:42pm

Projek perintis cegah denggi guna mikro organisma


MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan memulakan projek perintis suntikan mikroorganisma Wolbachia ke dalam telur nyamuk aedes aegypti dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata buat permulaan pihaknya sudah mengenal pasti tapak untuk dijadikan kawasan projek berkenaan di Selangor.

Katanya, melalui projek perintis itu ia boleh melihat sama ada berkesan atau sebaliknya untuk mencegah penularan wabak denggi terhadap manusia.

"Ia akan diteruskan sekiranya mampu mengawal demam denggi khususnya di kawasan mencatatkan penyakit terbabit," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wolbachia adalah sejenis mikroorganisma yang hidup secara semula jadi dalam organ pembiakan serangga. Ia wujud dalam kira-kira 60 peratus serangga kecuali nyamuk aedes aegypti. 

Sebelum ini penggunaan Wolbachia sudah mula diperkenalkan sejak 2016 di bawah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kerjasama Universiti Lancaster, United Kingdom. 

IMR menggunakan kaedah penggantian iaitu nyamuk aedes aegypti jantan dan betina yang mengandungi Wolbachia akan dilepaskan ke kawasan lapangan.

Selepas membiak dalam jangka masa yang tertentu, kebanyakan nyamuk aedes aegypti di dalam kawasan itu akan mengandungi Wolbachia dan tidak mempunyai virus denggi.

Selain itu, terdapat satu lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk menurunkan kadar populasi nyamuk iaitu hanya aedes aegypti jantan yang mengandungi Wolbachia sahaja yang dilepaskan dalam jumlah yang besar. 

Nyamuk jantan ini akan mengawan dengan nyamuk betina, namun telur itu tidak akan menetas seterusnya akan mengurangkan populasi nyamuk.

Berita Harian X