Isnin, 6 Februari 2017 | 12:00pm

16 mati lori kargo rempuh bas


SEBUAH lori kargo merempuh bas selepas ia gagal dikawal. - Foto Reuters

TEGUCIGALPA: Sekurang-kurangnya 16 maut dan 34 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan lori di kawasan pinggir bandar, kata seorang pegawai.

Timbalan Inspektor Pengangkutan Polis, Carlos Espana, berkata nahas itu berlaku kira-kira 10 kilometer di jalan raya di luar ibu negara Tegucigalpa ke arah selatan negara itu.

Dalam kemalangan itu sebuah lori kargo merempuh bas selepas ia gagal dikawal.

Jurucakap Hospital Perguruan, Miguel Osoria, berkata semua mangsa yang cedera di bawah ke hospital itu dan dua daripada mereka kritikal akibat kecederaan di kepala.

Menurut polis, pemandu lori itu melarikan diri selepas kemalangan itu.

Pengarah Pengangkutan Kebangsaan, Leonel Sauceda berkata, pemandu lori disyaki memandu laju dengan kenderaan yang sarat membawa buah-buahan. - Reuters/AP

Berita Harian X