Ahad, 5 Februari 2017 | 11:01pm

Syamel, Ernie juara program Duo Star

JUARA Duo Star, Syamel dan Ernie Zakri. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Persembahan konsisten sepanjang minggu memberikan kelebihan untuk pasangan Syamel dan Ernie Zakri dinobatkan sebagai juara program realiti, Duo Star, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, Syamel dan Ernie berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi.

Tempat kedua yang menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi disandang oleh pasangan Kaka Azraff dan Awi Rafael, manakala Haiza dan Aepul berpuas hati di tempat ketiga dengan ganjaran wang tunai RMRM25,000 serta trofi.

Pasangan Ayai dan Firman pula menduduki tempat keempat sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Mengulas kemenangan mereka, Syamel, 24, mengharapkan ia mampu membawa tuah buat dirinya untuk meneruskan kerjaya seni pada masa akan datang.

"Harapan saya selepas ini adalah untuk terus menstabilkan kerjaya sebagai seorang penyanyi. Pertandingan ini juga diharap menjadi medan untuk saya terus mendaki tangga kejayaan sebagai seorang legenda," kata bekas naib juara Akademi Fantasia 2015 ini kepada BH Online.

Sementara itu, Ernie, 25, pula menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah atas kerja keras mereka sepanjang beraksi dalam program berkenaan.

"Saya bersyukur kerana Syamel menjadi pasangan duet saya kerana dia bukan saja berbakat besar, malah tahu apa yang perlu dilakukan dalam program sebegitu sehingga membuatkan kerja kami menjadi mudah dan nampak serasi," katanya.

Mula disiarkan sejak 25 Disember lalu menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123), program ini turut disertai empat pasangan lain iaitu Ila Damiaa & Yasin, Asfan & Aweera, Ronnie Hussein & Sarah Fazny serta Harris Baba & Ning Baizura.

Program terbabit dihoskan oleh Datuk AC Mizal, manakala pengarah muzik, Datuk Acis; serta penyanyi, Datuk Hattan dan Adibah Noor bertindak sebagai juri profesional.

Berita Harian X