Ahad, 5 Februari 2017 | 10:54pm

54 maut dalam tiga hari akibat salji tebal


KEADAAN salji di Badakhshan, Afghanistan. - Foto EPA

KABUL: Angka kematian akibat tiga hari salji tebal di seluruh Afghanistan meningkat kepada 54 orang hari ini dan wujud kebimbangan ia mungkin bertambah ketika penyelamat mula membersihkan jalan ke kawasan terpencil.

Seorang jurucakap kementerian bencana alam, Mohammad Omar Mohammadi berkata, runtuhan salji memusnahkan sejumlah besar rumah dan menghalang laluan di wilayah tengah dan timur laut.

"Setakat ini 54 orang kehilangan nyawa dan 52 lagi cedera akibat runtuhan salji dan cuaca sejuk melampau di 22 wilayah," kata Mohammadi menambah 168 rumah musnah manakala 340 ternakan mati.

Pihak berkuasa bimbang, angka kematian itu mungkin meningkat mendadak kerana kru menyelamat masih belum sampai ke sesetengah kawasan terjejas teruk.

Di wilayah timur laut paling teruk terjejas di Badakhshan, sekurang-kurangnya 18 orang termasuk tiga wanita dan dua kanak-kanak maut apabila runtuhan salji menimpa rumah mereka semalaman, kata jurucakap wilayah, Naween Frotan.

"Puluhan lain masih terperangkap, kami sedang cuba menyelamatkan mereka," katanya menambah banyak jalan masih terputus.

Lima orang maut akibat runtuhan salji di daerah Balkhab di wilayah Sari Pul di utara Afghanistan dan sekurang-kurangnya 70 yang terperangkap di bawah salji sedang berusaha diselamatkan, kata jurucakap wilayah, Zabiullah Amani. -AFP

Berita Harian X