Ahad, 5 Februari 2017 | 9:49pm

Beckham nafi lobi untuk pingat kesatria British


DAVID Beckham.

LONDON: David Beckham semalam membidas laporan menyatakan beliau menggunakan kerja kebajikan anak-anaknya untuk menaikkan imej dan mencerahkan peluangnya mendapat anugerah kesatria daripada Ratu Elizabeth II.

Seorang jurucakap ikon bola sepak itu mendakwa emel peribadi yang digodam dan diubah, memberi gambaran tidak tepat.

Bekas kapten pasukan England yang bersara pada 2013 itu menjadi subjek satu siasatan 'Kebocoran Bola Sepak' oleh rangkaian European Investigative Collaborations, konsortium terdiri daripada 12 organisasi media termasuk Mediapart milik Perancis.

Memetik e-mel antara Beckham dan kakitangannya, laporan mendakwa, beliau pada mulanya enggan menyumbang wang ke dalam tabung kemanusiaan 7 Fund, cuba mendapatkan pulangan daripada agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) UNICEF untuk perbelanjaan penajanya dan menggunakan tugas kemanusiaan sebagai batu loncatan untuk kepentingan sendiri.

Beckham menerima pingat Most Excellent Order of the British Empire pada 2003, dua langkah sebelum kesatria.

Dalam satu e-mel, beliau didakwa membuat bantahan terhadap penyanyi Katherine Jenkins yang mendapat anugerah OBE sama pada 2014, menyelar jawatankuasa pemilih British itu.

Beckham jelas berang kerana tidak mendapat pengiktirafan itu, berkata: "Jika saya rakyat Amerika, saya akan mendapat sesuatu seperti ini 10 tahun lalu."

Dalam satu e-mel lain kelihatan mengadu diminta menyamakan sumbangan pembida terbanyak dalam satu lelongan UNICEF berkata: "Saya enggan melakukannya dan tidak akan berbuat demikian menggunakan wang sendiri."

Susulan kebocoran digelar 'Beckileaks' itu, polis dipanggil untuk menyiasat insiden godaman terbabit. - Agensi

Berita Harian X