Ahad, 5 Februari 2017 | 5:25pm

Jangan pertikai keupayaan Kak Milah


NANCY (bertudung merah) menggaul Yee Sang pada Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Alumni SMK Green Road

KUCHING: Sebagai isteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu cukup memahami `kehendak dan keperluan' rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu yang pernah diwakili suaminya.

Malah, pemilihan beliau sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu disifatkan sebagai amat tepat, khusus dalam meneruskan perjuangan arwah suaminya bagi memperkasakan pembangunan di kawasan terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata keupayaan Jamilah untuk mewakili kerusi berkenaan tidak boleh dipertikaikan, malah seharusnya diberikan peluang menggalas tanggungjawab itu.

"Seperti Tok Nan, beliau (Jamilah) cukup disenangi di peringkat akar umbi, malah turut memiliki aura yang disenangi rakyat, terutama pendekatan bersederhana yang diamalkan beliau.

"Beliau calon terbaik untuk mewakili rakyat di Tanjong Datu, malah kita yakin sokongan akar umbi tetap kukuh bersamanya dalam mengharungi pilihan raya kali ini," katanya selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road di sini, petang tadi.

Dalam PRK Tanjong Datu, Jamilah atau lebih gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Milah berdepan pertembungan tiga penjuru, termasuk dua wakil pembangkang iaitu calon Parti Reformasi Negeri (STAR), Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Rapelson Richard Hamit.

Sementara itu, Nancy yang juga Setiausaha Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata BN tidak hanya mengadakan kempen ketika pilihan raya kerana usaha memenangi hati rakyat dilakukan sepanjang masa."

"Tidak seperti pembangkang yang hanya muncul ketika pilihan raya, BN bekerja dengan rakyat sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata, antara pendekatan terbaik yang diguna pakai ialah menziarahi rakyat dari rumah ke rumah.

"Kita selami permasalahan rakyat dengan bersemuka secara terus ketika menziarahi rumah mereka yang secara tidak langsung merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat," katanya.

Berita Harian X