Ahad, 5 Februari 2017 | 10:31am

Kisah al-Quran papar panduan integriti terbaik


GAMBAR hiasan.

MENELITI sorotan media satu persatu isu berlaku dalam negara. Penangkapan individu tertentu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hinggalah isu penajaan kelab bola sepak, tidak boleh dipandang remeh kerana babit isu integriti. Kemunculan tamadun Islam sangat dibanggakan bermula zaman Rasulullah SAW, sahabat dan khalifah kerana ketinggian akhlak dan budi pekerti pemimpin dan rakyat.

Jatuhnya empayar Uthmaniyyah akibat kejatuhan akhlak dan nilai moral. Al-Quran papar pelbagai kisah kebangkitan dan keruntuhan tamadun, pemerintahan, kerajaan dan ummah. Hampir 1,500 ayat atau satu perempat kandungan al-Quran mengandungi sejarah sebagai peringatan, antaranya:

* Seorang lelaki menolak pelawaan seorang perempuan jelita untuk berkhalwat semata-mata takutkan Allah. Itulah yang terjadi kepada Nabi Yusuf AS yang digoda isteri pembesar Mesir. Dikisahkan dalam Surah Yusuf ayat 23-24.

* Zulqarnain menolak tawaran harta satu kaum untuk bina dinding pemisah menutup sudut di antara dua gunung supaya dapat mentutup jalan keluar terakhir bagi Ya'juj dan Ma'juj, kerana sudah mencukupi harta dianugerahkan Allah SWT. (Surah al-Kahfi ayat 95).

* Penilaian puteri Nabi Syuaib terhadap Nabi Musa AS yang dapat dipercayai kerana keterjagaan pandangan Nabi Musa AS terhadap mereka dalam perjalanan pulang ke rumah. (Surah al-Qasas ayat 26).

* Jin meskipun dikonotasi sebagai makhluk durhaka, tetapi al-Quran merakamkan sebahagian jin beriman kepada Allah SWT, bahkan 'Ifrit antara golongan jin hidup pada masa Nabi Sulaiman AS mencadangkan kepada Baginda membantu memindahkan singgahsana Ratu Balqis. 'Ifrit berjanji memindahkan dalam masa singkat serta menjamin dia dapat dipercayai melaksanakan tugas itu termasuk menjaga permata dan berlian yang kemungkinan ada pada singgahsana, tetapi Baginda menggunakan kepakaran seorang hamba soleh. (Surah al-Naml ayat 39-40).

Kisah tentera Talut

Tentera Talut ketika melalui padang yang panas terik dan tidak berair. Mereka gelisah bagaimana boleh menentang musuh kerana kehausan. Mereka merayu Talut berdoa kepada Allah SWT. Talut beri amaran supaya tidak minum air sungai yang akan dilalui kecuali secedok sahaja. Diriwayatkan dalam kalangan 70,000 tentera, hanya sekitar 300 askar mematuhi perintah Talut.

Tentera yang minum hanya secedok, hilanglah haus mereka, binatang tunggangan mereka juga cergas dan dapat menyeberangi sungai meneruskan perjuangan, sementara yang banyak minum lemah, pucat dan kecut hati sehingga tidak berani berperang. (Surah al-Baqarah ayat 249-251).

Al-Quran turut merakam watak pemimpin korup tidak berintegriti - Firaun, Haman dan Qarun. Firaun adalah pemerintah diktator, mempunyai kuasa mutlak menghukum musuh, mendakwa dirinya tuhan serta meyakini tiada kuasa lain boleh gugat pemerintahan. Haman pula sentiasa berlegar dekat Firaun menjalankan tugas ampu-mengampu memperkukuh kekuasaan Firaun.

Qarun tokoh korporat yang dapat manfaat daripada pemerintah, membantu pemerintah, sekali gus mengaut habuan lumayan tanpa pedulikan kesengsaraan orang lain. Begitu juga disebut beberapa kaum rosak integriti kemanusiaannya, lalu dihapuskan Allah SWT seperti kaum Thamud (umat Nabi Saleh), kaum Aad (umat Nabi Hud) dan umat Nabi Lut. Ia berkait rapat pencemaran integriti paling tinggi, iaitu mensyirikkan Allah SWT selain sifat keji lain.

Model terunggul kepemimpinan

Sunnah merakam Rasulullah SAW model terunggul kepemimpinan, memenuhi fitrah manusia melalui sifat amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Pemimpin Arab Quraish memberi gelaran 'al-Amin' kepada Baginda kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat.

Gelaran ini membangkitkan rasa kasih berterusan ramai orang Quraisy kepada Rasulullah SAW. Tetapi, cabaran dihadapi Baginda cukup hebat. Abu Jahal, pemimpin kanan Quraisy, menawarkan jawatan raja, perempuan cantik dan harta kekayaan supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, Rasulullah SAW menolak tawaran itu.

Seterusnya, Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA meletakkan asas integriti kukuh pemerintahan Khulafa' al-Rasyidin, dengan berkata: "Wahai manusia, sesungguhnya aku dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu; jika aku berbuat baik, bantulah aku, jika aku berbuat salah, betulkanlah aku. Jujur itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Taatlah aku selagi aku taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhaka terhadap Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku."

Ini diteruskan Saidina Umar al-Khattab RA. Diriwayatkan isterinya Ummu Kalsum membeli pewangi berharga satu dirham dan dihadiahkan kepada Maharani Byzantin. Sebagai balasan, maharani memberi batu permata diisi dalam bekas pewangi dihadiah isteri Umar. Apabila Umar tahu, beliau jual batu permata itu dan hasil jualan dimasukkan ke dalam baitulmal negara. Hanya satu dirham diberi kepada isterinya.

Perkataan hampir sama diucapkan Khalifah Umar Abdul Aziz ketika diangkat menjadi khalifah. Umum membayangkan, tatkala diangkat ke jawatan tinggi memiliki kuasa, tentu berhati riang dan berpesta ria, sebaliknya diriwayatkan Umar memasukkan kepala ke celah dua lututnya, menangis teresak-esak kerana takut ujian Ilahi, meliputi kuasa dan tanggungjawab. Pada hari kedua pemerintahan, beliau berkhutbah:

"Aku bukan orang yang paling baik dalam kalangan kamu, sedangkan aku orang yang paling berat tanggungjawabnya dalam kalangan kamu."

Sepanjang pemerintahan, Khalifah Umar Abdul Aziz menolak segala kemewahan, malah menjual kenderaan dan peralatan diperuntukkan kepada beliau, lalu menyerahkan hasil jualan kepada baitulmal negara. Inilah sikap diperlihatkan dalam menghayati sifat amanah dan akauntabiliti.

Tadabbur al-Quran, selami sunnah Rasulullah SAW dan fahami sejarah sebagai ibrah kepada kebangkitan dan keruntuhan tamadun, pemerintahan, kerajaan serta ummah sebagai rujukan dan panduan. Lazimi amar makruf, nahi mungkar, tetapkan iman demi membina masyarakat berintegriti.

217 dibaca
Berita Harian X