Ahad, 5 Februari 2017 | 8:23am

Hamsik, Mertens ledak hatrik untuk Napoli


PEMAIN Bologna, Luca Rizzo (kiri)dan pemain Napoli, Marek Hamsik ketika perlawanan Liga Itali Serie A antara pasukan Bologna FC menentang SSC Napoli di stadium Dall'Ara, Bologna, Itali. - Foto EPA

MILAN: Marek Hamsik dan Dries Mertens masing-masing mencipta hatrik ketika Napoli membelasah Bologna, 7-1 di laman sendiri awal pagi tadi yang menyaksikan lima gol terhasil pada babak pertama, dua peluang terlepas dan sepakan penalti yang gagal menerjah jaring.

Pemain Bologna, Mattia Destro hanya melihat sepakan penaltinya diselamatkan Pepe Reina ketika Napoli mendahului dua gol.

Selepas itu, kedua-dua pasukan sedang beraksi dengan 10 pemain apabila Jose Callejon (Napoli) dan Adam Masina (Bologna) diarahkan keluar padang.

Kemenangan besar itu membolehkan Napoli menjadi pasukan memiliki jumlah gol terbanyak dalam kempen Serie A, dengan 55 gol untuk berada di kedudukan kedua dengan 48 mata, di hadapan AS Roma yang akan bertemu Fiorentina pada Rabu ini.

Juventus selaku pendahulu memiliki 51 mata dan akan bertemu Inter Milan awal pagi esok.

Dalam aksi awal pagi tadi, Napoli bermula baik apabila Hamsik meletakkan mereka di hadapan dengan tandukan selepas empat minit perlawanan dan Lorenzo Insigne menyempurnakan hantaran Piotr Zielinski untuk menambah gol kedua, dua minit kemudian.

Bologna berpeluang merapatkan kedudukan apabila Callejon dikasari pada minit ke-26 dan dihadiahkan sepakan penalti yang diambil Destro, namun sepakannya diselamatkan Pepe Reina.

Kurang seminit kemudian, Callejon dibuang padang kerana bertindak balas dengan Adam Nagy walaupun keputusan pengadil itu dianggap terlalu keras dan selepas itu, Masina pula menerima nasib sama dibuang padang selepas menjatuhkan Mertens.


PEMAIN Napoli, Dries Mertens menghadiahkan Napoli gol ketiga selepas melakukan sepakan lencong yang menarik pada Liga Itali Serie A. - Foto EPA

Mertens yang mengambil sepakan itu berjaya menghadiahkan Napoli gol ketiga selepas melakukan sepakan lencong yang menarik.

Vasilis Torosidis merapatkan kedudukan Bologna pada minit ke-36 namun ia hanya sementara apabila Mertens melakukan serangan balas pantas dua minit sebelum rehat untuk membolehkan Napoli mendapat gol keempat.

Merten mencipta gol kelima dengan pergerakan kaki lincah serta melakukan hantaran ke belakang untuk Hamsik pada minit ke-70 dan pemain Slovakia ini melengkapkan hatrik dengan rembatan lencong dari luar kotak penalti, empat minit kemudian.

Bologna terpaksa menggantikan penjaga gol, Antonio Mirante dengan Angelo da Costa namun Napoli terus ghairah memburu gol dan hasilnya, Mertens berjaya melepas barisan barisan pertahanan melalui larian pantas untuk meledak hatrik pada minit akhir perlawanan. - Reuters

Berita Harian X