Sabtu, 4 Februari 2017 | 5:46pm

MyPPP Buntong lapor polis isu mesej palsu burukkan TPM


PENGERUSI myPPP Buntong, Datuk Naran Singh (empat dari kiri) menunjukkan laporan polis berhubung mesej palsu yang tersebar di media sosial yang memberikan imej buruk kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Balai Polis Buntong, Ipoh. - Foto ihsan Datuk Naran Singh

IPOH: Parti Progresif Penduduk Malaysia (myPPP) Buntong hari ini membuat laporan polis berhubung mesej palsu yang tersebar di media sosial yang memberikan imej buruk kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mesej palsu itu berhubung peruntukan lot gerai sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor yang didakwa majoritinya diberikan kepada peniaga Melayu hingga mendatangkan kemarahan masyarakat India.

Pengerusi myPPP Buntong, Datuk Naran Singh, berkata berita palsu yang viral dan fitnah itu bukan sahaja boleh mencetuskan huru-hara, tetapi juga memberikan imej buruk kepada Ahmad Zahid.

"Berita yang tersebar melalui media sosial itu antara lain mengatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri, memberikan 60 peratus daripada lot gerai perniagaan kepada peniaga Melayu manakala masing-masing  20 peratus lagi kepada peniaga Cina dan India.

"Mesej itu juga mendakwa peniaga India hanya dibenarkan berniaga di sekitar kawasan kuil manakala ruang gerai di sepanjang laluan utama adalah untuk peniaga Melayu.

"Laporan ini adalah berbaur hasutan dan fitnah terhadap Timbalan Perdana Menteri dan pihak yang menyebar serta menghantar mesej berbaur perkauman ini perlu dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum membuat laporan berkenan di Balai Polis Buntong, di sini.

Naran berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu serta pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan mesej berbaur hasutan dan fitnah berkenaan.

Berita Harian X