Sabtu, 4 Februari 2017 | 4:37pm

Penduduk mahu legasi Adenan diteruskan - Abang Johari


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa pada sidang media pada Majlis Penamaan Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu di Lundu, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

LUNDU (Sarawak): Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu mahu legasi bekas wakil rakyat mereka, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, diteruskan.

Sehubungan itu, beliau yakin pengundi di DUN Tanjong Datu akan terus memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu, yang juga balu Adenan, untuk menjadi wakil mereka.

Abang Johari berkata beliau yakin penduduk Tanjong Datu mahu agar perancangan dan pembangunan yang ditetapkan Adenan dapat dilaksanakan, dan menambah, Jamilah adalah pilihan terbaik untuk meneruskan wawasan Allahyarham suaminya bagi kawasan pilihan raya berkenaan.

"Jamilah seorang yang amat berdedikasi dan beliau tahu keperluan serta masalah penduduk setempat.

"Beliau seorang pemimpin akar umbi dan saya yakin beliau boleh meneruskan apa yang Allahyarham Adenan telah rancang bagi DUN Tanjong Datu," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Tanjong Datu di sini hari ini.

Dalam pilihan raya kecil itu, Jamilah dicabar oleh calon daripada Parti Reformasi Sarawak (STAR), Johnny Aput dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Raphelson Richard Hamit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu Bernama bahawa Jamilah arif benar dengan kawasan DUN berkenaan kerana beliau sentiasa mengiringi suaminya ke kawasan itu, sekali gus memudahkannya meneruskan perancangan pembangunan yang digariskan oleh bekas ketua menteri itu.

"BN yakin dapat mengekalkan kemenangan besar dalam pilihan raya kecil ini, bagaimanapun saya ingin mengingatkan jentera parti (anggota dan pekerja) supaya tidak mengambil mudah.

"Mereka mesti berkempen habis-habisan di setiap pelosok DUN ini," katanya.

Uggah berkata mereka mesti memperjelaskan kepada rakyat tentang dasar dan program kerajaan serta langkah yang diambil kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang menjejaskan mereka.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol berkata BN tidak kecewa kerana tidak memenangi kerusi DUN Tanjong Datu tanpa bertanding.

"Sebaliknya, kami mengalu-alukan dua calon masing-masing daripada (STAR) dan PBDS Baru dalam semangat demokrasi matang," katanya.

Abdullah berkata jentera BN yang diketuai Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersedia untuk berdepan apa juja kemungkinan, dan telah pun mengadakan beberapa perbincangan serta simulasi kempen bersama petugas daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Tanjong Datu.

Selain itu, katanya, parti komponen BN yang lain turut menyatakan komitmen mereka untuk membantu dalam kempen berkenaan.

Setiausaha BN Sarawak merangkap Setiausaha Agung PBB, Datuk Stephen Rundi Utom berkata pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi dan setiap warga negara mempunyai hak untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

"Begitu juga dengan pilihan raya kecil ini dan parti kami (BN) sentiasa bersedia untuk bertanding dan yakin akan menang," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X