Sabtu, 4 Februari 2017 | 3:37pm

Lagu jiwang taruhan terbaharu Asfan


ASFAN pada sidang media pelancaran pertandingan nyanyian terbaru terbitan Astro iaitu Duo Star di Restoran Yuyi, Bangsar Shopping Centre (BSC). - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

KUALA LUMPUR: Mengambil formula lagu 'berhantu', Ku Rela Dibenci dendangan bakat remaja, Aiman Tino, penyanyi Asfan muncul dengan single terbaharu, Kisah Cinta yang bersifat 'jiwang'.

Asfan yang kagum dengan pencapaian Aiman hingga bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-31 pada usia mentah, percaya lagu balada berkonsep 'jiwang' menjadi pilihan pendengar sekarang.

"Kita tak boleh nafikan telinga orang Melayu menggemari lagu bertemakan cinta. Sebab itu, jangan pertikaikan kenapa Aiman boleh popular. Jadi, saya fikir, kenapa saya tak boleh cipta lagu seperti itu.

"Saya rasa tak salah untuk kita terus membikin lagu balada seperti itu," katanya yang turut mengambil inspirasi daripada karya komposer hebat seperti Ajai dan Edry Abdul Halim dalam mencipta lagu.

Memberitahu BH Online, Asfan atau nama sebenarnya, Norasfan Shah Shah Rudin tidak sabar menanti reaksi peminat terhadap single Kisah Cinta.

"Projek besar tahun ini adalah pembikinan album terbaharu yang sedang rancak berjalan sekarang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Asfan mengambil beberapa artis baharu bernaung di bawah syarikat rakamannya, Black Beast Entertainment.

Mereka adalah penyanyi solo, Farhan Ali, kumpulan Royal dan Karma Sastera yang dianggotainya.

"Karma Sastera adalah sebuah kumpulan rapper merangkumi dua lelaki dan seorang wanita.

"Demi perkembangan perniagaan muzik, saya mahu beri peluang kepada bakat baharu. Saya mahu ketengahkan mereka seperti kumpulan Qanda," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X