Sabtu, 4 Februari 2017 | 2:51pm

Ahli keluarga bantu kempen Jamilah


CALON Barisan Nasional, Puan Sri Jamilah Anu diwakili anaknya, Azizul Adenan (tengah) selepas diumumkan sebagai calon bagi kawasan Tanjung Datu sempena PRK Tanjung Datu di Dewan Masyarakat Lundu. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

LUNDU: Ahli keluarga Datuk Amar Jamilah Anu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu akan berkampung di kawasan itu sepanjang tempoh berkempen hingga hari pengundian.

Anak Jamilah, Azizul Annuar Adenan berkata beliau bersama ahli keluarga termasuk adik-beradiknya akan membantu kempen itu memandangkan ibunya masih dalam tempoh edah kematian suami.

Katanya mereka akan berkempen mengikut perancangan yang dibuat oleh jentera pilihan raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN Sarawak.

"Insya-Allah memandangkan ibu masih dalam tempoh edah, saya, adik-beradik yang lain serta ahli keluarga akan turun berkempen membantu," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon PRK itu di Dewan Masyarakat Lundu, hari ini.

Azizul yang merupakan anak bongsu Jamilah dan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, berkata strategi kempen yang dirancang termasuk penggunaan media sosial.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dengan kelancaran proses penamaan calon hari ini serta berterima kasih kepada pucuk pimpinan PBB, BN serta anggota parti yang hadir memberikan sokongan kepada ibunya.

Ditanya mengenai PRK Tanjong Datu melibatkan pertandingan tiga penjuru, Azizul berkata sistem demokrasi yang diamalkan perlu dihormati.

"Kami semestinya mengharapkan tiada pertandingan, tetapi tidak mengapa untuk mempunyai lawan pada PRK ini, kita akan lihat (keputusan) apabila pengundi turun hari pengundian nanti," katanya.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandang Allahyarham Adenan yang juga Ketua Menteri kelima Sarawak pada 11 Januari lalu akibat komplikasi jantung. - BERNAMA

Berita Harian X