Sabtu, 4 Februari 2017 | 2:24pm

Pegawai, anggota PDRM wajib jalani ujian fizikal


DATUK Narenasagaran Thangavelo (kiri) berbual dengan tiga pelatih terbaik yang Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Kontstabel (Sokongan) Siri 2/2016 di Padang Kawad, Pulapol Dungun. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diwajibkan menjalani ujian kecergasan fizikal, selain saringan kesihatan setiap enam bulan sekali.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Datuk T Narenasagaran, berkata arahan bagi memastikan kesihatan fizikal dan mental mereka berada pada tahap terbaik itu sudah dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kepada semua kontinjen di seluruh negara.

Beliau berkata, pegawai dan anggota polis yang gagal dalam ujian kecergasan fizikal serta pemeriksaan kesihatan, berdepan peluang tipis untuk kenaikan pangkat, walaupun lulus dalam peperiksaan jabatan.

"Pelbagai kursus terutama berkaitan dengan pemakanan akan dianjurkan, selain menggalakkan mereka menyertai latihan di gimnasium.

"Setiap pegawai dan anggota polis diberi tanggungjawab bertugas 24 jam, termasuk tugas berat yang berisiko kepada kesihatan fizikal serta kerohanian," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Konstabel Sokongan Siri 2/2016 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Rantau Abang di sini, hari ini.

Turut hadir Komandan Pulapol Dungun, Superintendan Mohd Zaini Mat Yusof.

Pada majlis itu, Konstabel Sokongan (KS) Mohamad Hairul Azmeer Mohd Nasir dipilih sebagai pelatih terbaik kategori akademik dan Mohamad Faizal Abdullah (Paleth terbaik keseluruhan) manakala Makhzan Mukhtar sebagai pelatih terbaik latihan luar.

76 dibaca
Berita Harian X