Sabtu, 4 Februari 2017 | 1:15pm

Sultan Kedah rasmi Pameran Potret Diraja


SULTAN Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Sultanah Kedah, Sultanah Hajah Haminah Hamidun. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Potret Diraja 'Images of Majesty' yang diadakan di Galeri Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Sultanah Kedah, Sultanah Hajah Haminah Hamidun; Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff.

Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim turut berangkat.

Pameran Potret Diraja memaparkan 100 keping potret terpilih yang menampilkan perjalanan Sultan Abdul Halim bermula dari zaman awal remaja sehingga mencatat sejarah tersendiri apabila dua kali dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din, dalam ucapannya berkata, pameran diadakan kerajaan negeri dan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) sempena meraikan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-89 dan berlangsung sehingga hujung tahun.

Beliau berkata, pameran adalah cetusan idea Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Pengerusi YSB dalam memastikan sejarah sentiasa terpahat dalam sanubari rakyat.

"Pameran ini juga simbolik merakamkan kenangan sejarah dan kegemilangan pemerintahan seorang Raja berdaulat yang berjiwa rakyat," katanya.

Berita Harian X