Sabtu, 4 Februari 2017 | 8:32am

Demam PRK Tanjong Datu bermula


KAKITANGAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Florence Zacclin (kiri) dan Anna Mohamed ketika membuat persiapan terakhir Pilihan Raya Kecil DUN Tanjong Datu di Kuching pada 2 Februari lalu. - Foto Nadim Bokhari

LUNDU: Dewan Masyarakat Lundu menjadi tumpuan hari ini apabila proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu bermula jam 9 pagi nanti.

Kerusi DUN Tanjong Datu kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan akibat pada 11 Januari lalu.

Tok Nan 'berhijrah' dari DUN Muara Tuang ke DUN Tanjong Datu susulan proses persempadanan semula sempena Pilihan Raya Negeri Ke-9 (PRN-9), selain didorong iltizam kuatnya bagi membawa pembangunan ke kawasan luar bandar itu.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei tahun lalu, Allahyarham mengekalkan penguasaan di kerusi berkenaan, yang juga 'kubu kuat' BN Sarawak, dengan memperoleh majoriti 5,892 undi, menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan.

Setakat ini, balu Allahyarham, Puan Sri Jamilah Anu yang juga calon Barisan Nasional bakal menghadapi tentangan calon Parti STAR, Lina Soo.

Sekurang-kurangnya seorang calon Bebas dijangka turut mengemukakan pencalonan.

Berita Harian X