Sabtu, 4 Februari 2017 | 6:00am

Mampukah The Blues tambah sengsara Gunners?

SELEPAS minggu ke-23, Chelsea terus kekal gah mengungguli carta Liga Perdana Inggeris (EPL). Pada aksi terakhir menentang Liverpool di Anfield pertengahan minggu, mereka tercicir dua mata selepas diikat tuan rumah 1-1. The Blues sehingga kini menghimpunkan 56 mata.

Biarpun hanya mengutip satu mata pada aksi tumpuan minggu ke-23 itu, barisan Antonio Conte kekal meninggalkan pesaing terdekat mereka, Tottenham Hotspur dan Arsenal, dengan sembilan mata.


Antonio Conte

Ini selepas Spurs turut hanya berupaya meraih satu mata dalam pertemuan dengan Sunderland susulan seri tanpa jaringan manakala The Gunners pula dikejutkan Watford di laman sendiri 1-2.

Hanya Manchester City - sebuah lagi pesaing utama kejuaraan liga musim ini, mencatat kemenangan. The Citizens membelasah West Ham 4-1 untuk kembali menghidupkan peluang mencabar Chelsea dan kini ketinggalan 10 mata untuk berada di tangga kelima, menyamai jumlah dikumpul Liverpool yang berada di tangga keempat.

Satu lagi pencabar kejuaraan, Manchester United turut tercicir mata apabila diikat Hull City di Old Trafford yang menyaksikan pengendali mereka, Jose Mourinho dilapor tidak berpuas hati dengan corak pengadilan Mike Jones. United kini mengumpul 42 mata dan ketinggalan 14 mata di belakang Chelsea.

Bagaimana pula bagi saingan minggu ini? Ya, Chelsea sekali lagi bakal berdepan cabaran getir selepas diuji The Reds. Kali ini mereka menerima kunjungan Arsenal di Stamford Bridge. Selepas anak buah Jurgen Klopp gagal menjinakkan The Blues, mampukah barisan Arsene Wenger melakukannya? Atau adakah akan berlaku sebaliknya. Mampukah Chelsea meneruskan kesengsaraan The Gunners yang diaibkan Watford di Emirates pada Rabu lalu?

Ini yang menarik untuk kita saksikan. Andai Chelsea memenangi perlawanan ini, mereka akan menjarakkan 12 mata di depan Arsenal, sekali gus Wenger boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kejuaraan EPL. Namun jika berlaku sebaliknya, The Gunners sudah pasti kembali di landasan mencerahkan peluang merapati lawannya itu untuk merebut kejuaraan liga.

Bagi yang mengikuti rapat saingan EPL setiap musim, saya melihat The Gunners seolah-olah memiliki 'penyakit' yang serupa seperti Liverpool. Kedua-dua kelab ini sering menjadi mangsa kelab kerdil, namun mampu bertukar gagah apabila bertemu kelab gergasi seperti City atau United.


Arsene Wenger

Adakah Arsenal mampu melakukannya pada aksi jam 8.30 malam ini waktu Malaysia? Saya tidak menolaknya. Namun yang jelas, pasukan yang kalah harus 'masuk gua'. Buat Arsenal, mereka sudah pun berada di situ selepas tewas kepada Watford. Kini The Gunners tiada pilihan. Mereka tidak boleh terkulai di Stamford Bridge malam ini. Seri bukanlah pilihan kerana Spurs, Liverpool dan City sedia menyingkirkan mereka untuk berada di puncak.

Sementara itu, Spurs bakal melayan kedatangan Middlesbrough di White Hart Lane dengan sasaran mengutip mata penuh. Mereka harus memenangi perlawanan ini jika tidak mahu terus ditinggalkan Chelsea. Selepas gagal merebut peluang di Sunderland pertengahan minggu ini, pencabar utama kejuaraan liga ini tidak boleh tersilap lagi tatkala harapan disandarkan pada Arsenal untuk menjinakkan Chelsea di Stamford Bridge.

Dalam pada itu, Liverpool perlu bangkit dari kekecewaan berterusan apabila berkunjung ke laman Hull City. Selepas tersingkir dari final Piala Liga dan pusingan keempat Piala FA, mereka tidak harus menuruti nasib United yang diikat lawannya itu di Old Trafford.

City pula dijangka tiada masalah membenam Swansea City manakala Red Devils pula perlu berhati-hati apabila bertemu penyandang juara, Leicester City yang kini dalam usaha mengelak terjerumus ke zon penyingkiran. Selamat menonton.

Ramalan minggu ke-24

Chelsea 2 Arsenal 2

Crystal Palace 2 Sunderland 2

Everton 2 Bournemouth 0

Hull City 1 Liverpool 1

Southampton 2 West Ham 0

Watford 2 Burnley 0

West Brom 1 Stoke City 2

Tottenham 2 Middlesbrough 0

Man City 4 Swansea 0

Leicester City 1 Man United 3

Penulis adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X