Jumaat, 3 Februari 2017 | 10:56pm

Sultan Nazrin memeriahkan majlis sambutan Tahun Baharu Cina Perak


SULTAN Nazrin berkenan meletakkan 'Jongkong Emas' pada gimik perasmian Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Perak 2017 di Arena Pangkor, Pulau Pangkor malam ini. - Foto BERNAMA

PANGKOR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berangkat menghadiri dan memeriahkan Majlis Santapan sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 di Arena Pangkor di sini sebentar tadi.

Baginda berdua tiba pada jam 8.45 malam dan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudian bersama kerabat dan pembesar negeri menggaul yee sang di pentas utama sebagai tanda meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dan turut berkenan menyampaikan ang pau kepada kanak-kanak pelbagai kaum pada majlis berkenaan.

Kira-kira 5,000 rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan itu dalam suasana penuh harmoni.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Cina antaranya tarian singa, tarian kaum Dai, tarian kaum Wan, persembahan wushu, tarian kaum Jin Po dan tarian kaum Yi yang berasal dari China.

Terdahulu, sebelum itu Sultan Nazrin menunaikan solat Jumaat di Masjid Teluk Raja Bayang di sini serta turut meluangkan masa melawat Masjid Al-Badr Seribu Selawat bernilai RM11.7 juta di Teluk Gedong dekat sini.

Berita Harian X