Jumaat, 3 Februari 2017 | 8:51pm

Brinchang, Tringkap di Cameron Highlands dilanda banjir kilat


AIR sungai yang deras menyebabkan beberapa rumah dinaiki air.

CAMERON HIGHLANDS: Kawasan Brinchang dan Tringkap dilanda banjir kilat menyebabkan 14 rumah terjejas dengan penghuni di lima daripada rumah berkenaan terpaksa dipindahkan sementara.

Dalam kejadian di Pekan Lama, Brinchang, lima rumah yang terletak berdekatan Sungai Bertam dinaiki air akibat limpahan sungai berkenaan, manakala di Kampung Lama, Tringkap, sembilan rumah terjejas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Mohd Haziq Hazmi, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian di Pekan Lama, Brinchang pada jam 4.30 petang sebelum mengarahkan anggotanya ke kawasan berkenaan.

Katanya, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati berlaku banjir kilat di kawasan perkampungan jalan ke Cactus Valley.

"Operasi pemindahan membabitkan penghuni di lima rumah yang terletak berhampiran Sungai Bertam.

"Air naik setinggi hampir satu meter mengakibatkan empat rumah kayu di situ dinaiki air manakala satu lagi rumah teres hanya membabitkan bahagian dapur sahaja.

"Berikutan kejadian itu, operasi pemindahan dilakukan membabitkan kesemua penghuni rumah berkenaan sehingga paras air kembali normal dan operasi pemindahan tamat pada jam 5.25 petang," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Mohd Haziq berkata sembilan rumah di Kampung Lama, Tringkap dinaiki air akibat limpahan air Sungai Tringkap yang dianggarkan naik hampir satu meter daripada paras normal.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.45 petang dan menggerakkan anggota ke lokasi berkenaan namun tiada operasi pemindahan dilakukan.

Berita Harian X