Sabtu, 20 Disember 2014 | 6:10pm
KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan di Kilometer 14 Jalan Kuala Lipis-Merapoh berhampiran Padang Tengku, Kuala Lipis petang semalam. - Foto Syazwan Msar

Lelaki maut, empat anggota keluarga parah nahas di Kuala Lipis

KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala empat anggota keluarganya parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Kuala Lipis-Merapoh berhampiran Padang Tengku, Kuala Lipis petang semalam.

Kemalangan berlaku jam 5 petang dan mangsa, Mohd Sofian Mat Daud, 37,berasal dari Seri Gombak, Selangor, mati empat jam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Isteri mangsa, Hazmi Adam, 37, dan bapanya, Adam Awang, 86, serta dua anak perempuannya, Puteri Batrisya Mohd Sofian, 3, dan Puteri Balqis Mohd Sofian,12, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, DSP Mohamad Noor Yusuf Ali, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju ke Merapoh.

"Sebaik tiba di tempat kejadian kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan selepas terlanggar lopak air menyebabkannya kenderaannya terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Myvi (dari arah Merapoh keKuala Lipis)," katanya.

Akibat itu, pemandu Perodua Myvi itu, Tuan Mohd Khuzaie Tuan Rosli, 22, dan bapanya, Tuan Rosli Tuan Abdullah, 48, turut cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut, kata beliau ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan jalan licin berikutan hujan lebat dan siasatan turut mendapati pemandu Perodua Myvi berkenaan tidak memiliki lesen memandu.

"Polis akan mengambil tindakan terhadap pemilik kereta Perodua Myvi kerana membenarkan individu tiada lesen memandu kenderaannya dan pada masa sama keterangan daripada mangsa serta saksi kejadian turut direkodkan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan semalam, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut terbunuh selepas motosikal ditunggangnya melanggarsebuah kereta yang mahu memasuki simpang di Kilometer 130, Jalan Kuantan-Johor Bahru, berhampiran Jeti Tanjung Gemok, dekat Rompin.

Kemalangan jam 2.40 petang itu menyebabkan mangsa, Ridwan Sabardan, 21, dari Kampung Pulau Lang Kiri, Kuala Rompin, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Mayat dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

- BERNAMA

265 dibaca
Berita Harian X