Jumaat, 3 Februari 2017 | 7:28pm

Mayat pengemudi bot ditemui di Sungai Golok

MAYAT Abdul Rahman Zakaria ditemui terapung oleh pasukan bomba kira-kira lapan kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. - Foto ihsan bomba

RANTAU PANJANG: Selepas 36 jam dilaporkan hilang, mayat pengemudi bot penambang yang terjun ke Sungai Golok di sini kelmarin, ditemui terapung di sungai berkenaan di Kampung Lubuk Gong dekat sini, petang ini.

Mayat Abdul Rahman Zakaria, 45, ditemui kira-kira jam 4.20 petang dalam keadaan terapung oleh pasukan bomba iaitu lapan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd Admi Ibrahim, berkata mayat itu ditemui oleh pasukan bomba yang membuat pemantauan di kawasan sekitar sejak semalam.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Polis Marin turut terbabit dalam operasi mencari dan mangsa.

"Berikutan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama dua hari sejak semalam ditutup," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad mengesahkan menerima laporan kejadian.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Semalam BH melaporkan seorang lelaki yang terkejut dengan anggota polis yang menjalankan Operasi Narkotik di sekitar kawasan sempadan, hilang dibawa arus deras selepas terjun dari botnya ke dalam Sungai Golok di sini, pada jam 4.30 pagi kelmarin.

Berita Harian X