Sabtu, 20 Disember 2014 | 4:49pm
ANGGOTA polis memeriksa kenderaan peniaga yang dibenarkan berniaga dalam kawasan stadium bagi memastikan tiada barang terlarang dibawa masuk pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Azhar Ramli

Piala AFF: Kawalan ketat dimulakan selepas pintu stadium dibuka


ANGGOTA polis dan RELA memeriksa penyokong sebelum dibenarkan masuk ke dalam stadium pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Pemeriksaan ketat oleh pihak berkuasa bagi memasuki Stadium Nasional Bukit Jalil sudah dimulakan menjelang final kedua Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia bertemu Thailand, jam 8 malam ini.

Pemeriksaan itu dibuat sebaik pintu memasuki stadium dibuka kira-kira jam 3.00 petang tadi, bagi memastikan insiden membawa suar dan pergaduhan membabitkan kumpulan individu tertentu seperti yang berlaku di Stadium Shah Alam, 7 Disember lalu, tidak berulang.

Biarpun cuaca dingin berikutan hujan sebentar tadi, penyokong Harimau Malaya tetap bersemangat untuk memenuhi ruang tempat duduk stadium.

Sehingga jam 4.30 petang, sebahagian ruang tempat duduk di dalam stadium sudah mula dipenuhi penyokong Malaysia, hanya segelintir saja penyokong Thailand sudah tiba.

Hampir 3,000 anggota polis, tidak termasuk pasukan RELA juga kelihatan bersiap sedia menerima kehadiran penyokong dan membuat kawalan keselamatan di semua pintu masuk dan dalam stadium.

Penyokong juga tidak melepaskan peluang membeli dan mendapatkan koleksi seperti t-shirt, jersi dan mafla Harimau Malaya yang dijual peniaga di sekitar pekarangan stadium.

Lebih meriah, penganjuran aktiviti sukan bermotor dianjurkan pihak swasta di kawasan letak kenderaan di hadapan stadium nyata menambahkan lagi aktiviti dan suasana kemeriahan menjelang aksi malam ini.

Dalam pada itu, tinjauan BH Online di laluan hadapan pintu masuk utama stadium mendapati keadaan sudah mula sesak dengan kenderaan dan bas yang membawa penyokong.


ANGGOTA polis memeriksa kenderaan peniaga yang dibenarkan berniaga dalam kawasan stadium bagi memastikan tiada barang terlarang dibawa masuk pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Azhar Ramli

Anggota trafik mula mengawal lalu lintas di semua laluan masuk ke stadium bagi memastikan arah trafik lancar.

Kehadiran penyokong juga dijangka akan terus meningkat menjelang lewat petang ini.

Malaysia tewas 0-2 kepada Thailand dalam perlawanan akhir pertama di Bangkok, pada Rabu.

Apa yang pasti, skuad kendalian Dollah Salleh perlu bangkit malam ini untuk mengubah agregat kemenangan yang kini berpihak kepada Thailand dengan memastikan jaringan sekurang-kurangnya 3-0 diperoleh di laman sendiri, sekali gus menjulang kejuaraan Piala AFF buat kali kedua.

268 dibaca
Berita Harian X