Jumaat, 3 Februari 2017 | 1:01am

Grab cadang labur AS$700 juta di Indonesia

JAKARTA: Grab, syarikat perkongsian pengangkutan menerusi aplikasi yang dahulunya dikenali sebagai GrabTaxi, mendedahkan rancangan untuk melabur sehingga AS$700 juta (RM3.1 bilion) di Indonesia dalam tempoh empat tahun akan datang, ketika persaingan dalam kalangan firma aplikasi pengangkutan di negara itu kini semakin sengit.

Syarikat itu berkata, sebahagian besar daripada pelaburan itu adalah untuk pembukaan pusat penyelidikan dan pembangunan di republik itu.

Firma yang berpangkalan di Singapura itu, adalah antara peneraju dalam penyediaan aplikasi perkongsian pengangkutan di Asia Tenggara.

Pesaing utamanya adalah Uber yang berpangkalan di Amerika Syarikat, manakala pesaing lainnya di Indonesia adalah syarikat tempatan iaitu Go-Jek.

Ketua Eksekutif dan Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan berkata: "Kami teruja untuk melabur sejumlah besar dalam masa depan Indonesia dan merancakkan lagi peralihannya ke arah ekonomi digital."

Grab, yang pada mulanya dikenali sebagai MyTeksi, ditubuhkan di Malaysia pada 2012 oleh Anthony dan rakannya Tan Hooi Ling.

Anthony adalah anak kepada Datuk Tan Heng Chew iaitu Presiden Tan Chong Holdings Bhd.

Grab kini sudah beroperasi dalam pasaran pengangkutan di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand dan Vietnam. - Agensi

Berita Harian X