Khamis, 2 Februari 2017 | 9:41pm

KOM hantar 12 atlet pecut ke Johannesburg


PRESIDEN Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Leo Leslie Armstrong (depan tiga kiri) bersama wakil-wakil penaja pada sidang media Federal Territory City Day Run 2017 di Wisma OCM, hari ini.

KUALA LUMPUR: Seramai 12 atlet pecut negara akan menyertai latihan di Johannesburg, Afrika Selatan pada hujung bulan ini sebagai persediaan untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim berkata, atlet pecut itu terdiri daripada Olimpian Zaidatul Husniah Zulkifli, raja pecut negara Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisham Abdul Manap.

Turut tersenarai Rayzam Shah Wan Sofian, Muhammad Azam Masri, G Aravinn Thevar, Shereen Samson Vellabouy, Nurul Raizah Asma, Komalam Sahlly, Siti Fatimah Mohamad, Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa.

KOM akan turut menghantar dua atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh Randhawa menjalani latihan di Sydney, Australia selama dua bulan, katanya kepada pemberita selepas sidang media mengenai acara larian Kuala Lumpur City Day Run 2017 di Wisma OCM di sini, hari ini.

"Atlet perlu menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara terlebih dulu sebelum dibenarkan pergi berlatih di Afrika Selatan manakala Nauraj dan Hup Wei akan berlepas secepat mungkin ke Sydney untuk berlatih bersama jurulatih mereka, Alex Stewart.

"Kami masih meneliti untuk menghantar tiga lagi atlet iaitu Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Iskandar Alwi dan Chuah Yu Tian (lompat bergalah)," katanya

Karim berkata, atlet ke luar negara bukan sekadar untuk menjalani latihan, tetapi juga bertanding dalam beberapa siri kejohanan sepanjang tempoh berada di sana.

"Paling utama ialah kita mahu mereka menggunakan peluang berlatih dan menyertai kejohanan berlatih di luar negara ini dengan sebaik mungkin supaya dapat mengukur tahap prestasi mereka," katanya.

Dalam pada itu, kesemua atlet berkenaan akan menyertai satu kejohanan di Eropah apabila memasuki fasa ketiga pemilihan Sukan SEA, sebelum bertanding dalam Terbuka Malaysia yang dijangka berlangsung Mei ini.

Ia medan terakhir pemilihan sebelum senarai nama akhir ke Sukan SEA diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM). - BERNAMA

Berita Harian X