Khamis, 2 Februari 2017 | 9:05pm

FAM yakin tiada masalah ke Korea Utara


SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin skuad kebangsaan tidak akan menghadapi masalah dalam perjalanan ke Korea Utara untuk aksi pertama pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 pada 28 Mac ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya sedang berurusan dengan Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) dan pada masa ini, tiada masalah bagi skuad negara untuk mengunjungi Pyongyang.

"Setakat ini beberapa perlawanan di sana berlangsung dengan baik walaupun terdapat beberapa kekangan. Kita ikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA.

"FAM juga bekerjasama dengan pasukan keselamatan kita mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis undian Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia di sini, hari ini.

Pada pusingan kedua kempen kelayakan itu tahun lalu, Korea Utara bermain empat perlawanan peringkat Kumpulan H di Pyongyang menentang juara kumpulan, Uzbekistan, Filipina, Bahrain dan Yaman untuk muncul naib juara kumpulan dengan 16 mata daripada lapan perlawanan.

Hamidin berkata sebagai aksi pemanas badan, skuad Harimau Malaysia dijangka mengadakan perlawanan persahabatan menentang Filipina di Manila atau sebuah kelab Liga China.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Utara, Hong Kong dan Lubnan, terpaksa membatalkan aksi persahabatan menentang Bahrain selepas mengambil kira faktor jarak dari negara Timur Tengah itu ke Pyongyang.

"Kita mungkin adakan aksi persahabatan dengan Filipina dan terus ke China kerana penerbangan ke Korea Utara berlepas dari Beijing. Jika tidak, kita akan bermain dengan kelab di China sebelum ke Pyongyang dari Beijing pada 26 Februari," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata FAM sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk mengambil alih penganjuran kejohanan peringkat umur Bawah 17 (B-17) bagi menepati kriteria pelesenan kelab seperti diarahkan AFC.

"Mengikut pelesenan kelab yang kita luluskan tahun lalu, semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana perlu ada pasukan B-21 dan B-19. Mungkin bermula tahun depan, kita akan menganjurkan kejohanan ini," katanya.

Pada masa ini, FAM sedang menganjurkan dua kejohanan peringkat umur iaitu Piala Presiden (B-21) dan Piala Belia (B-19), manakala tiada had umur untuk Piala FAM.

Undian Piala FAM

Kumpulan A: Felcra, KDMM FC, MOF FC, Shahzan Muda FC, MPKB-BRI U-BeS FC, KS DBKL, Hanelang FC dan UKM FC.

Kumpulan B: AirAsia Allstars FC, SAMB FC, Sungai Ara FC, Terengganu City FC, PBMS FC, Kuching FA, Sime Darby FC dan Penjara FC

Undian Piala Presiden

Kumpulan A: Kelantan, Johor Darul Ta'zim (JDT) III, Kedah, Terengganu, Sarawak, Melaka, Felda United FC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang dan UiTM FC

Kumpulan B: T-Team, Selangor, Pahang, Perak, Sabah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PKNP FC, PKNS FC, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur

Undian Piala Belia

Kumpulan A: Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, JDT IV, Sarawak, SSMP B-17, Terengganu, PKNS FC, Pahang dan SSTMI B-17

Kumpulan B: Sabah, Felda United FC, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka, Perak dan SSTMI B-16

-- BERNAMA

Berita Harian X