Khamis, 2 Februari 2017 | 7:05pm

Bomba selamatkan wanita cuba bunuh diri

KUALA LUMPUR: Pasukan bomba berjaya memujuk seorang wanita yang cuba membunuh diri untuk terjun dari tingkat 19, sebuah kondominium  di Taman Kobena, Cheras di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, wanita berusia dalam lingkungan lewat 40an itu, dilaporkan berjalan di ruang sisi kawasan terbuka tingkat 19, sebelum duduk di belebas simen sekitar jam 3.30 petang.

Seramai 16 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, tiba pada jam 3.50 petang selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Ketua Gerakan Operasi, Penguasa Bomba, Zamani Ismail, berkata pihaknya mengambil masa hampir tiga jam memujuk wanita berkenaan untuk membatalkan hasratnya untuk cuba membunuh diri. 

"Pada masa sama, ketika pegawai bomba dengan dibantu keluarganya memujuk wanita terbabit, beberapa anggota lain memasang beg udara di tingkat bawah kondominium berkenaan selain memasang tali dari tingkat 20 kediaman berkenaan. 

"Tujuannya adalah bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya wanita itu nekad untuk terjun," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi. 

Katanya, pada jam 6.07 minit petang, wanita terbabit akur dengan pujukan pegawai bomba yang bertugas sebelum dia kembali ke kawasan terbuka di tingkat 19. 

"Sebaik dia menuju ke arah bomba, kami akhirnya menarik dia ke tempat selamat sebelum dipujuk oleh ahli keluarganya," katanya. 

Setakat ini motif sebenar dia cuba membunuh diri masih belum dapat diketahui.

WANITA berusia 40an berjalan di ruang sisi kawasan terbuka tingkat 19, kondominium di Taman Kobena, Cheras di sini,sebelum duduk di belebas simen. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelemat Kuala Lumpur
Wanita berusia 40an berjalan di ruang sisi kawasan terbuka tingkat 19, kondominium di Taman Kobena, Cheras di sini. Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelemat Kuala Lumpur
Berita Harian X