Khamis, 2 Februari 2017 | 2:15pm
PROTON Saga 1.3L.

Proton Persona, Saga diperkenal di Brunei


PROTON Persona 1.6L.

BRUNEI: PROTON Holdings Bhd (PROTON) melalui pengedar utamanya di Brunei, PAD Motors Sdn Bhd (PAD), memperkenalkan Proton Persona 1.6L serba baharu dan Proton Saga 1.3L generasi ketiga secara rasmi di negara itu, Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata ia menjadikan Brunei pasaran luar negara pertama yang memiliki kehadiran kedua-dua model itu selepas dilancarkan di Malaysia pada Ogos dan September tahun lalu.

Katanya, ia adalah kelangsungan langkah PROTON selepas Proton Iriz diperkenalkan di pasaran pengguna Brunei pada 1 Oktober 2016.

"Di Brunei, Persona serba baharu menawarkan varian 1.6L Executive CVT manakala Saga baharu pula dengan dua varian, 1.3L - Executive CVT dan Premium CVT. Kedua-dua varian boleh didapati dalam enam warna menarik.

"Persona serba baharu dievolusikan secara ketara dari segi ciri, teknologi hebat, reka bentuk dan binaannya, termasuk pemanduan dan pengendalian yang lebih baik serta pengurangan dari segi getaran, bunyi dan kekasaran (NVH).

"Kedua-dua Persona dan Saga direka dengan baik serta memberi nilai yang berbaloi untuk dimiliki, selamat dan dilengkapi dengan ciri praktikal selain dilengkapi ciri keselamatan aktif dan pasif dan sehingga menerima penarafan masing-masing lima bintang dan empat bintang oleh ASEAN NCAP," katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Majlis pelancaran di Pusat Beli Belah Times Square, Bandar Seri Begawan, itu disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam, Rafedah Abdul Aziz.

Turut hadir, Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa, PROTON, Mohd Khalid Yusof; dan Pengarah Pengangkutan Darat Brunei, Dr Supry Ladi.

Persona serba baharu dan Saga baharu kini dibuka untuk pandu uji dan tempahan di semua cawangan PROTON di Brunei yang dikendalikan pengedar tunggal PROTON, PAD Motors.

Berita Harian X