Khamis, 2 Februari 2017 | 2:12pm

DBKK tutup semua jeti haram bawa pelancong


DATUK Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai merasmikan Upacara Ulang Tahun Ke-17 Bandar Raya Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengenal pasti seterusnya menutup semua jeti haram di sekitar bandar raya ini yang dikesan membawa pelancong secara haram ke pulau peranginan sekitar perairan daerah ini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, berkata tindakan itu bertujuan mengelakkan operator bot menggunakan jeti terbabit untuk aktiviti pelancongan secara haram.

Beliau berkata, tindakan tegas itu juga bertujuan mengelak tragedi bot karam membabitkan pelancong China yang menaiki bot katamaran dari jeti haram di Tanjung Aru dekat sini, berulang kembali kerana tiada jaminan keselamatan.

"Kita lihat ini adalah langkah terbaik kerana kita mahu semua operator bot dan pengusaha pelancongan hanya menggunakan jeti yang dibenarkan sahaja.

"Bagaimanapun, kita akan menyiasat terlebih dahulu keperluan setiap jeti ini. Sekiranya ia hanya untuk kegunaan persendirian dan tidak membabitkan orang awam, kita tidak menutupnya," katanya kepada media selepas merasmikan Upacara Ulang Tahun Ke-17 Bandar Raya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad; Ketua Pengarah DBKK, Datuk Joannes Solidau dan Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan DBKK, Bahari Hassan.

Semalam, DBKK merobohkan sebahagian struktur jeti kayu di Kampung Tanjung Aru Baru di sini, bagi menghalang pengusaha bot pelancongan menggunakannya sebagai pangkalan mengangkut pelancong.

Jeti berkenaan adalah lokasi bot jenis katamaran mengambil 28 pelancong China yang terbabit dalam insiden bot karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, Sabtu lalu.

Berita Harian X