Sabtu, 20 Disember 2014 | 2:06pm

Juruteknik kilang ditemui mati di Senawang


ANGGOTA polis sedang menjalankan siasatan kes seorang juruteknik kilang ditemui mati dengan kesan luka di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul di belakang sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Senawang awal pagi tadi. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Seorang juruteknik sebuah kilang ditemui mati dengan kesan luka di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul, di belakang kawasan sebuah kilang di kawasan perindustrian Senawang dekat sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata mangsa, R Jayaram, 56, dari Sungai Gadut dijumpai terbaring berlumuran darah oleh seorang pengawal keselamatan kilang itu yang sedang meronda pada kira-kira jam 3.10 pagi. "

Pengawal keselamatan itu kemudian menghubungi polis dan pemeriksaan polis mendapati mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


ANGGOTA polis sedang membawa mayat seorang juruteknik kilang yang ditemui mati dengan kesan luka di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul di belakang sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Senawang awal pagi tadi. - Foto BERNAMA

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat," katanya di sini.

Muhamad Zaki berkata, berikutan kejadian itu, seorang suspek warga Nepal berumur 23 tahun yang bekerja di kilang yang sama ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang pada jam 6.15 pagi.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan beberapa lagi tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. - BERNAMA

111 dibaca
Berita Harian X