Rabu, 1 Februari 2017 | 3:06pm

DBKK roboh struktur jeti haram Tanjung Aru


ANGGOTA DBKK merobohkan sebahagian struktur jeti kayu di Kampung Tanjung Aru Baru di Kota Kinabalu, hari ini, bagi menghalang pengusaha bot pelancongan menggunakannya sebagai pangkalan mengangkut pelancong. - Foto Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini merobohkan sebahagian struktur jeti kayu di Kampung Tanjung Aru Baru di sini, bagi menghalang pengusaha bot pelancongan menggunakannya sebagai pangkalan mengangkut pelancong.

Dalam operasi kira-kira sejam bermula jam 12 tengah hari tadi, penguat kuasa DBKK dilihat membuka sebahagian binaan kayu di jeti terbabit yang asalnya adalah untuk kegunaan nelayan di kampung berkenaan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, ketika ditemui pemberita berkata, perobohan dilakukan adalah tindakan susulan berikutan kedudukannya dikenal pasti sebagai jeti haram bagi aktiviti pelancongan.

Beliau berkata, DBKK pernah mengeluarkan notis pada April tahun lalu supaya pengusaha bot tidak menggunakan jeti di kampung itu untuk membawa pelancong, namun ia tidak dipedulikan oleh pengusaha bot pelancong.

"Jeti ini dibina untuk tujuan perikanan penduduk setempat dan dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), namun tidak mendapat kelulusan DBKK.

"Oleh itu, kita menganggap struktur ini sebagai haram dan menyalahi undang-undang. DBKK akan mengeluarkan laporan mengenai status jeti di kawasan ini dan menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk tindakan susulan," katanya.

Mengenai status sebuah lagi jeti konkrit di kampung itu, Boon Hai berkata, ia juga dibina untuk kegunaan penduduk dan bukan pangkalan bot pelancongan.

Jeti berkenaan adalah tempat bot jenis katamaran mengambil 28 pelancong warga China yang terbabit dalam insiden bot karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, Sabtu lalu.

Boon Hai berkata, pihaknya percaya pengusaha bot pelancongan mengambil kesempatan menggunakan jeti berkenaan bagi mengambil pelancong kerana tidak dipantau pihak berkuasa, selain tiada bayaran dikenakan.

"Berikutan insiden itu, DBKK menempatkan anggota penguat kuasa bagi memantau jeti di kawasan berkenaan supaya tidak digunakan pengusaha bot pelancongan sebagai pangkalan untuk mengambil dan menurunkan pelancong," katanya.

Berita Harian X