Rabu, 1 Februari 2017 | 10:08am

Iran tak jawab soalan ujian peluru berpandu


Mohammad Javad Zari

TEHRAN: Menteri Luar Iran semalam enggan mengesahkan sama ada negaranya mengadakan ujian peluru berpandu baru-baru ini.

Mohammad Javad Zarif berkata, program peluru berpandu Iran bukan sebahagian perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa dunia.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan pertemuan atas permintaan pentadbiran Trump dan Duta Amerika Syarikat ke badan dunia itu, Nikki Haley, berkata dunia perlu berwaspada dengan ujian itu dan majlis perlu mengambil tindakan.

Haley berkata, ujian peluru berpandu balistik jarak sederhana itu tidak boleh diterima sama sekali dan berkata Iran bertindak naif dengan menyangka Amerika dan negara lain menerima pertikaiannya ia tidak berhasrat menyerang mana-mana negara.

"Saya akan memberitahu penduduk seluruh dunia bahawa ada sesuatu yang perlu dibimbangkan.

"Amerika tidak naif. Kami tidak akan percaya. Anda akan lihat kami menyelar mereka seperti yang kami katakan, dan akan melihat kami bertindak sewajarnya," kata Haley.

Dalam sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Jean-Marc Ayrault; Mohammad Javad ditanya sama ada Iran mengadakan ujian peluru berpandu baru-baru ini.

"Isu peluru berpandu bukan sebahagian perjanjian nuklear. Seperti diumumkan perjanjian nuklear, ia bukan sebahagian perjanjian itu," katanya.

Peluru berpandu Iran, tambahnya, tidak direka untuk membawa peledak nuklear.

"Peluru berpandu balistik kami direka membawa peledak peluru yang dibolehkan dalam bidang pertahanan," katanya. - AP

Berita Harian X